Anugerah Atlet Terbaik Laureus 2014 Milik Vettel, Franklin

Diterbitkan: Rabu, 26 Mac 2014 11:09 PM

Sebastian Vettel. Foto FAIHAN GHANI / THE STAR

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Juara dunia empat kali  Formula Satu, Sebastian Vettel  dari Jerman merangkul gelaran Atlet Lelaki Terbaik Tahunan Laureus pada majlis Anugerah Dunia Sukan Laureus  2014.

Vettel, 26, menjadi pelumba paling muda bergelar juara dunia empat kali berturut-turut berjaya menarik perhatian juri selepas lima kali dicalonkan dalam kategori ini sekaligus  menyertai barisan legenda lain sebelum ini seperti Juan Manuel Fangio, Michael Schumacher dan Alain Prost yang meraih trofi terbaik ini.

Manakala Anugerah Wanita Terbaik Laureus 2013 dirangkul oleh perenang dari Amerika Syarikat, Missy Franklin.

Missy Franklin

Franklin mengetepikan lima pencalonan lain iaitu Nadine Anger dari Jerman (bolasepak), Shelly-Ann Fraser-Pryce (olahraga, Jamaica), Yelena Isinbayeva (olahraga, Russia), Tina Maze (ski, Slovenia) dan Serena Williams (tenis, AS).

Sementara itu, skuad bola sepak Liga Jerman, Bayern Munich dinobatkan Pasukan Terbaik Laureus sekaligus mengetepikan pasukan bola sepak Brazil, pasukan bola keranjang Miami Heat dari Amerika Syarikat, pasukan Formula 1 Red Bull serta skuad All Blacks dari New Zealand.

Bayern mencatat satu-satunya kelab yang menamatkan saingan 2013 dengan cemerlang dengan meraih trofi Liga Juara-Juara, Liga Jerman dan Piala Jerman.

Pelumba Sepanyol, Marc Márquez dipilih sebagai penerima anugerah Pencapaian Cemerlang Tahunan apabila muncul juara paling muda dalam kejuaraan MotoGP, pada usia 20 tahun 266 hari. 

Marquez  juga mencipta sejarah menjadi pemenang paling muda ketika menjuarai Gran Prix Amerika di Austin pada April tahun lalu, ketika berusia 20 tahun 63 hari.

Dalam pada itu, jaguh tenis no.1 dunia,  Rafael Nadal menjulang trofi Laureus buat kali kedua, apabila terpilih sebagai pemenang anugerah Kemunculan Semula Terbaik Tahunan.

Nadal pernah menjulang trofi Atlet Terbaik Laureus pada tahun 2011.

Jaguh tenis Sepanyol itu kembali beraksi selepas tujuh bulan berehat kerana kecederaan mempamerkan aksi luar biasa menjuarai gelaran Grand Slam Terbuka Perancis dan Terbuka AS serta merampas kembali ranking pertama dunia itu.

Bagi kategori Aksi Sukan Terbaik Laureus, jaguh BMX dari United Kingdom, Jamie Bestwick menjadi pilihan untuk meraih trofi ini.

Jaguh wanita ski Perancis, Marie Brocet, 19, memenangi trofi  Tokoh Sukan Kelainan Upaya 2013 selepas mencatat pelbagai kejayaan lima Grand Slam termasuk Kejuaraan Ski Dunia Alphine.

Akademi Dunia Sukan Laureus juga memperkenalkan dua anugerah pengiktirafan khas iaitu Anugerah Semangat Sukan Laureus dimenangi pasukan Kriket Afghanistan, yang layak ke Kejohanan Kriket Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah mereka, manakala Anugerah Sukan Untuk Kebaikan Laureus diberikan kepada Magic Bus, sebuah projek komuniti berasaskan sukan di India.

Anugerah Dunia Sukan Laureus ini pertama kali berlangsung di Kuala Lumpur dan Istana Budaya menjadi lokasi anugerah berprestij ini turut dihadiri jaguh sukan tanah air Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David dan Pandelela Rinong.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan