Golf: Fung Mahu Beri Sumbangan Cemerlang

Diterbitkan: Selasa, 11 Mac 2014 10:45 AM

Nicholas Fung

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemain Malaysia Nicholas Fung berazam memberi sumbangan cemerlang kepada Team Asia dan membalas budi kapten pasukan itu kerana memilihnya menganggoti pasukan itu menentang Team Europe dalam kejohanan golf Piala EurAsia pertama anjuran DRB-HICOM di Glenmarie Golf and Country Club dari 27 hingga 29 Mac.

Pemain berusia 23 tahun ini berkata dia yakin mampu bermain dengan cemerlang dalam kejohanan ala Piala Ryder itu apabila menentang pasukan diketuai Miguel Angel Jimenez, yang turut dianggotai Graeme McDowell, Thomas Bjorn dan Jamie Donaldson.

Menurut pemain kelahiran Sabah ini, dia suka bermain dalam keadaan tertekan dan ini terbukti melalui kemenangan pertamanya sebagai pemain profesional di Vietnam pada 2010. 

"Kemenangan pertama saya sebagai pemain profesional (pada 2010) adalah melalui acara permainan perlawanan. Oleh kerana ketika itu saya baru saja bermain sebagai pemain profesional, saya tidak pernah menduga akan menang, tapi saya memenangi kesemua perlawanan yang disertai," kata Fung seperti yang tersiar dalam laman web Asian Tour www.asiantour.com. 

Thongchai, yang berkongsi tempat keenam di Amerika hujung minggu lepas, memilih Fung dan pemain senegaranya Prayad Marksaeng sebagai dua pemain pilihan kapten untuk pasukan itu. 

Fung berkata dia amat berharap dapat menyumbang tiga mata untuk Team Asia melalui perlawanan fourball, foursome (empat pemain) dan single.

Format permainan bagi Piala EurAsia akan menyaksikan lima perlawanan fourball berlangsung pada hari pertama (27 Mac), diikuti lima perlawanan foursome pada hari kedua (28 Mac) dan perlawanan single pada hari terakhir (29 Mac).

"Saya perlu memenangi kesemua perlawanan. Memang sukar apabila berdepan dengan pasukan Eropah, tapi saya berazam untuk melakukan yang terbaik. Saya sungguh berbangga kerana dipilih menyertai Team Asia," katanya.

Tahun lepas, Fung menjuarai Asian Development Tour (ADT) Order of Merit setelah meraih satu kemenangan tempat pertama dan tiga kemenangan tempat kedua serta berkongsi tempat keenam dan menjadi naib johan dalam kejohanan Resorts World Manila Masters dan Terbuka Indonesia, yang melayakkannya memperoleh kad Jelajah Asia setelah menduduki tempat ke-36 dalam Order of Merit. Pencapaian inilah yang menarik minat Thongchai memilihnya menyertai pasukan itu. 

"Matlamat saya ialah mendapat tempat dalam kalangan 100 pemain terbaik dunia dan perlahan-lahan memperbaiki kedudukan ini. Cita-cita saya ialah menjuarai satu kejohanan dalam Jelajah Asia tahun ini, di samping Asian Development Tour," kata Fung yang kini menduduki tangga ke-244 dalam Ranking Golf Dunia.

Team Asia:

Thongchai Jaidee (Kapten), Kiradech Aphibarnrat, Prayad Marksaeng (Thailand), Gaganjeet Bhullar, Anirban Lahiri (India), Nicholas Fung (Malaysia), Kim Hyung-sung (Korea Selatan), Koumei Oda, Hideto Tanihara (Jepun), Siddikur Rahman (Bangladesh). 

Team Europe:

Miguel-Angel Jimenez (Kapten, Sepanyol), Thomas Bjorn (Denmark), Jamie Donaldson (Wales), Victor Dubuisson (Perancis), Gonzalo Fernandez-Castano
(Sepanyol), Stephen Gallacher (Scotland), Pablo Larrazabal (Sepanyol), Joost Luiten (Netherlands), Graeme McDowell (Ireland Utara), Thorbjorn Olesen (Denmark).


Tags / Kata Kunci: Golf , Eurasia

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan