Khairy Harap Terengganu Kaji Semula Keputusan Tarik Balik Tajaan LTDL 2014

Diterbitkan: Khamis, 28 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berharap Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said mengkaji semula keputusan kerajaan negeri itu untuk tidak meneruskan tajaan RM2 juta bagi kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun depan.

Perkara itu dinyatakan Menterinya, Khairy Jamaluddin melalui laman sosial Facebook beliau.

"Saya terkejut dengan pengumuman Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said untuk menarik (balik) tajaan RM2 juta bagi perlumbaan LTdL 2014 serta menarik diri daripada menjadi tuan rumah bagi sebarang peringkat perlumbaan itu.

"Saya difahamkan pengumuman itu dibuat berdasarkan andaian beliau bahawa acara perlumbaan basikal jalan raya pada Sukan SEA 2017 akan diadakan di Johor dan kejohanan pelayaran Piala Monsun juga akan dipindah dari Pulau Duyong bermula tahun depan," katanya.

Pada Rabu, Ahmad mengumumkan bahawa kerajaan negeri Terengganu enggan meneruskan tajaan sebanyak RM2 juta kepada penganjur LTdL tahun depan berikutan kegagalan negeri itu mendapatkan hak penganjuran beberapa acara sukan berprestij seperti menjadi venue acara lumba basikal untuk Sukan SEA 2017 dan Piala Monsun di Pulau Duyong tahun depan.

Ahmad turut melahirkan rasa kecewanya apabila sumbangan, pengalaman dan kemudahan infrastruktur yang terdapat di negeri itu seolah-olah dipandang sepi oleh KBS.

Khairy berkata Jemaah Menteri dan KBS setakat ini belum membuat sebarang keputusan berhubung lokasi atau venue acara bagi Sukan SEA 2017.

"Walaupun Jemaah Menteri sudah memutuskan bagi Malaysia untuk menawarkan diri sebagai tuan rumah untuk temasya itu pada 2017, Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) akan hanya membuat keputusan rasmi pada 10 Dis," katanya sambil menambah sebarang kenyataan berkaitan lokasi atau venue bagi acara terbabit hanya cadangan buat masa ini.

"Kerajaan juga belum membuat sebarang keputusan tentang Piala Monsun akan datang. Walaupun perjanjian antara KBS dan bekas penganjur T-Best Events Sdn Bhd untuk mengadakan kejohanan ini di Terengganu sudah tamat pada 2012, masih belum ada apa-apa keputusan muktamad tentang lokasi kejohanan itu untuk tahun depan dan seterusnya," katanya.

Beliau berkata meskipun terdapat salah faham berhubung dua perkara itu, sukan berbasikal tidak seharusnya menjadi mangsa terutama dalam penganjuran kejohanan antarabangsa seperti LTdL.

"Memang tepatpun kenyataan MB bahawa kebanyakan pelumba basikal terunggul berasal dari negeri Terengganu, dan saya rasa mereka amat mengharapkan penglibatan Terengganu dalam LTdL," katanya.

Khairy juga berkata beliau sudah menjelaskan perkara itu kepada Exco Sukan Terengganu Rozi Mamat.

Beliau turut menasihati semua pihak agar tidak tergesa-gesa membuat sebarang keputusan berdasarkan andaian yang tidak tepat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan