Mun Hua Raih Emas Pertama Malaysia di Kejohanan Wushu Dunia

Diterbitkan: Sabtu, 2 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Atlet elit wushu negara, Ho Mun Hua berjaya menebus kembali kekecewaan setelah gagal meraih sebarang pingat dua tahun lepas, dengan menghadiahkan pingat emas pertama buat Malaysia pada Kejohanan Wushu Dunia ke-12 yang berlangsung di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras, malam Jumaat.

Atlet berusia 24 tahun dari Melaka itu mencuri perhatian juri dan penonton dengan gerakan tangkas dan meyakinkan dalam acara Nanquan lelaki.

Beliau mengutip 9.63 mata untuk meraih emas, manakala perak milik Koki Nakata dari Jepun dengan 9.60 mata dan gangsa digenggam Farshad Arabi dari Iran dengan 9.59 mata. "Saya sangat berpuas hati dengan kejayaan kali ini dengan memberi persembahan terbaik saya. Pada kejohanan sama (di Ankara, Turki) dua tahun lepas, saya gagal meraih sebarang pingat.

"Berjaya meraih kembali pingat kali ini adalah sesuatu yang amat bermakna," kata Mun Hua yang sudah enam tahun menjadi atlet elit wushu negara.

Beliau meraih pingat emas dalam acara sama empat tahun lepas ketika Toronto, Kanada menjadi tuan rumah kejohanan dunia itu.

Menurut Mun Hua, kejayaan itu menjadi pemangkin kepadanya untuk berada di podium di temasya Sukan SEA Myanmar, memandangkan beliau belum pernah memenangi sebarang pingat di temasya berkenaan.

Sementara itu, kem Malaysia turut bergembira dengan sebutir pingat perak yang diperoleh menerusi Ng Say Yoke dalam acara Chang Quan lelaki.

"Saya tidak pernah memenangi sebarang pingat dalam acara ini. Ini adalah kejayaan terbaik saya dan saya berterima kasih atas sokongan ibu bapa saya selama ini," katanya.

Atlet berusia 25 tahun, yang mendapat sokongan ibu bapanya yang datang dari Kedah semata-mata untuk memberi sokongan kepadanya, memperoleh 9.66 mata dalam acara itu.

Acara Chang Quan lelaki itu dimenangi Xi Wang dari China yang mengutip 9.72 mata manakala pingat gangsa milik Jo Kye-yong dari Korea Selatan dengan 9.64 mata.

Terdahulu hari ini, Malaysia meraih pingat gangsa melalui Loh Jack Chang dalam acara Taiji Jian lelaki. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan