Peserta Kenya Sekali Lagi Kuasai Larian Jambatan Sultan Mahmud 2013

Diterbitkan: Sabtu, 28 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Pelari jarak jauh Kenya sekali lagi mengulangi pencapaian edisi tahun lepas apabila menjuarai kategori terbuka lelaki dan wanita pada acara Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (LAJSM)2013 di sini, Sabtu.

Josphat Kiptanui Too Chobei, 27, dan suri rumah Kiplimo Jacquline Nyet Tipei, 29, berjaya mendominasi kategori antarabangsa sejauh 42km itu yang bermula dan berakhir di Dataran Burok di sini.

Josphat menamatkan larian dengan catatan masa dua jam tujuh minit dan 31 saat, sekali gus mengenepikan dua rakan senegaranya, Samoi John Kprop dan David Musyoki Mailu untuk menggondol wang tunai US$7,500 (RM24,195).

Samoi menerima US$5,000 (RM16,130) manakala David, selaku pemenang tempat ketiga menerima US$3,000(RM9,678).

Josphat ketika ditemui berkata beliau sangat gembira kerana dapat melakarkan kejayaan sulung di Terengganu selepas melakukan persediaan selama tiga bulan dan berharap dapat mempertahankan gelaran pada tahun depan.

Dalam pada itu, Kiplimo Jacquline mencatatkan masa 2'30:10s juga mengatasi dua lagi rakan senegara, Koros Makmila Jerotich (2'30:18s) serta Fridah Chepkite Lodepa (2'34:36s).

Suri rumah sepenuh masa itu menerima hadiah wang tunai US$5,000 (RM16,130) manakala Koros (US$3,000 - RM9,678) dan Fridah (US$2,000 - RM6,452).

Kiplimo Jacquiline, yang pertama kali beraksi di Malaysia, berkata hadiah kemenangan itu sedikit sebanyak dapat menampung pendapatan suaminya dan keperluan anak lelakinya yang berusia tujuh tahun di Kenya.

Sementara itu, pelari jarak jauh dari Kuala Lumpur, R. Venugopal pula memenangi perlumbaan bagi kategori lelaki tempatan manakala Noor Amelia Musa mengekalkan kejuaraan tahun lalu dalam kategori wanita tempatan di mana masing-masing menerima wang tunai RM8,000 setiap seorang.

Bagi kategori Orang Kurang Upaya (OKU) pula, Daniel Lee mempertahankan kejuaraan acara lelaki setelah menamatkan larian sejauh lima kilometer dengan catatan masa 18 minit 39 saat.

Norizan Daud mendominasi kategori wanita dengan masa 26 minit 35 saat dan masing-masing menerima wang tunai RM2,000 setiap seorang.

Seramai 8,011 peserta termasuk 142 peserta luar negara serta 298 peserta OKU menyertai perlumbaan yang dianjurkan kerajaan negeri Terengganu bersempena Tahun Melawat Terengganu 2013.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat bagi menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, Exco Sukan Rozi Mamat dan Pengarah Majlis Sukan Negeri, Zainal Abidin Hussin. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan