KBS Tidak Berhasrat Anjur Sukan Perpaduan Islam - Khairy

Diterbitkan: Rabu, 18 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak mempunyai perancangan untuk menganjurkan Sukan Perpaduan Islam dalam tempoh terdekat.

Menterinya, Khairy Jamaluddin sebaliknya menegaskan pihaknya kini memberi keutamaan kepada penganjuran Sukan SEA 2017 yang dilihat lebih mendatangkan faedah kepada atlet serta sukan negara.

"Keutamaan kita ketika ini ialah menganjurkan Sukan SEA pada 2017 sebab ia merupakan giliran kita. Jemaah menteri akan putuskan dalam masa terdekat mengenai Sukan SEA supaya kita dapat membuat persiapan rapi.

"Memandangkan Sukan SEA satu temasya besar, ia memerlukan masa untuk membuat persiapan...jadi buat masa ini, tidak ada perancangan (menganjurkan Sukan Perpaduan Islam) tetapi saya tidak tolak kemungkinan satu hari nanti kita akan tampil selaku tuan rumah," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada ketua kontinjen negara ke Sukan Perpaduan Islam Ketiga di Palembang, Indonesia, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din di sini Rabu.

Menyentuh mengenai temasya sukan berkenaan, Khairy berharap kontinjen negara mampu memperbaiki pencapaian lima emas yang diraih pada edisi sulung 2005 di Arab Saudi.

"Sasaran kita kali ini sudah semestinya berlandaskan pilihan atlet serta sukan yang dipertandingkan tetapi saya yakin kita ada kekuatan dalam karate, akuatik dan wushu untuk meraih emas," katanya.

Sejumlah 137 atlet akan menggalas cabaran negara pada temasya sukan melibatkan penyertaan 43 negara Islam itu dari 22 September hingga 1 Oktober ini.

Mereka akan mengambil bahagian dalam 10 daripada 13 acara yang dipertandingkan iaitu olahraga, renang, memanah, badminton, karate, taekwondo, tenis, bola tampar pantai, angkat berat dan wushu.

Acara yang tidak disertai ialah bola sepak, bola keranjang dan bola tampar dewan.

Edisi kedua temasya sukan berkenaan di Tehran, Iran pada 2010 dibatalkan Persekutuan Sukan Perpaduan Islam (ISSF) apabila negara tuan rumah gagal menyediakan kemudahan sewajarnya.

Idea penganjuran temasya itu tercetus semasa Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Putrajaya pada 2003 yang dipersetujui kesemua 57 negara anggotanya. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan