PDRM, Perlis Berjaya Raih Kemenangan Pertama

Diterbitkan: Sabtu, 7 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pemain-pemain Sabah meraikan jaringan pertama ketika menentang Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam perlawanan pembukaan Kejohanan Hoki Piala Tun Razak ke-51 di Stadium Hoki Kuantan di sini, Jumaat malam. Keputusan penuh PDRM 3-2 Sabah. -Foto BERNAMA.
Pemain-pemain Sabah meraikan jaringan pertama ketika menentang Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam perlawanan pembukaan Kejohanan Hoki Piala Tun Razak ke-51 di Stadium Hoki Kuantan di sini, Jumaat malam. Keputusan penuh PDRM 3-2 Sabah. -Foto BERNAMA.

KUANTAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Perlis berjaya membuat penampilan mantap dengan menewaskan lawan masing-masing pada perlawanan pembukaan Divisyen 2, Kejohanan Piala Tun Razak kali ke-51 di Stadium Hoki Indera Mahkota di sini, Jumaat.

PDRM membuka kempen dengan mengalahkan Sabah 3-2 manakala Perlis pula mendapat mata penuh selepas menumpaskan Kedah 5-1.

PDRM bagaimanapun dikejutkan dengan memberi gol saguhati kepada Sabah apabila pemainnya, Kamarudin Mohd Latiff membuat kesilapan yang membolosi gawang sendiri pada minit ke-43.

Berbekalkan semangat itu, Sabah terus melebarkan sayap dengan berjaya menambah gol kedua menerusi jaringan padang Jubiltone Dalut pada minit ke-51.

Namun tidak semudah itu untuk PDRM mengalah selepas berjaya merapatkan jurang pada minit ke-53 hasil jaringan padang Kevinder Singh.

Berselang empat minit kemudian PDRM juga turut mendapat bantuan daripada jaringan sendiri oleh pemain Sabah, Larry Lian bagi menyamakan kedudukan sebelum gol kemenangan PDRM diperolehi hasil jaringan Baljit Singh menerusi pukulan sudut penalti minit ke-70. Dalam pada itu, Perlis menerima kejutan apabila Kedah membuka jaringan seawal minit ketujuh, hasil jaringan padang oleh Mohamad Asraf Bahari.

Tersentak dengan gol awal itu, Perlis memperkemaskan rentak dan benteng pertahanan untuk menguasai permainan.

Muhammad Najmi Farizal Jazlan menyamakan kedudukan pada minit ke-22 dan seminit kemudian Perlis mendahului 2-1 dengan jaringan Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan.

Mohd Hafizi Muhammad Roslan menjadi wira pasukan Perlis apabila melakukan jaringan hatrik pada minit ke-29, 54 dan 69. Sementara itu, satu lagi perlawanan Divisyen 2 antara Selangor dengan Angkatan Tentera malaysia (ATM) terpaksa ditunda berikutan keadaan gelanggang yang tidak dapat digunakan selepas hujan lebat.

Esok tiga lagi perlawanan Divisyen 2 akan berlangsung di gelanggang sama iaitu Sabah lawan ATM, Perlis menetang PDRM dan Kedah bertemu Selangor.

Perlawanan Divisyen Satu akan bermula Ahad ini.

Divisyen Satu disertai oleh Terengganu, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka dalam Kumpulan A manakala Kumpulan B terdiri daripada pasukan Pahang, Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan