Tengku Abdullah Harap Skuad Hoki Teruskan Momentum Kemenangan

Diterbitkan: Selasa, 27 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Presiden Konfederasi Hoki Malaysia Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berharap skuad hoki kebangsaan dapat meneruskan momentum kemenangan hingga ke saingan separuh akhir, biarpun bakal berdepan laluan sukar menentang India, Jumaat ini.

Malaysia layak ke separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Asia kesembilan selepas mengalahkan Jepun 4-2 pada perlawanan peringkat kumpulan A yang berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah malam Selasa.

Tengku Abdullah berkata beliau bagaimanapun kurang berpuas hati dengan corak persembahan skuad hoki kebangsaan malam ini namun percaya mereka mampu mempamer aksi lebih baik nanti.

"Kalau nak menang di saingan separuh akhir, kita perlu buat lebih baik lagi dan saya harap kita mampu perbaiki kelemahan yang ada dalam masa dua hari lagi sebelum turun beraksi di separuh akhir Jumaat ini," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Tengku Abdullah berkata beliau akan membincangkan kelemahan yang perlu diperbaiki oleh skuad hoki kebangsaan bersama jurulatih kebangsaan Paul Revington.

Sementara itu, Revington berkata beliau gembira dengan kejayaan malam ini dan berpuas hati dengan persembahan anak didiknya biarpun mereka gagal memanfaatkan beberapa peluang untuk menjaringkan lebih banyak gol.

"Kalah atau menang memang adat bertanding namun kita berharap dapat mengalahkan India pada perlawanan separuh akhir nanti," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan