Bekas Pemain Sepak Takraw Kebangsaan Mohd Fauzi Meninggal Dunia

Diterbitkan: Ahad, 25 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas pemain takraw kebangsaan, Mohd Fauzi Ghadzali meninggal dunia akibat kanser kelenjar di Hospital Besar Pulau Pinang pada Sabtu.

Mohd Fauzi, 33, menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira 5.45 pagi ini, menurut anak saudara Allahyarham Mohd Khairil Ridzwan.

Katanya bapa suadaranya itu menerima rawatan di Hospital Besar Pulau Pinang sejak tiga bulan lalu dan keadaannya menjadi semakin kritikal sejak sebulan lepas.

Allahyarham meninggalkan isteri Solehah Omar, 30, dan lima anak berusia antara tujuh bulan dan lapan tahun.

Mohd Khairil, 29, berkata jenazah dijangka dikebumikan di Permatang Pauh, Pulau Pinang selepas solat Zohor pada Sabtu

"Kami sekeluarga sangat terasa dengan kehilangan arwah yang merupakan individu peramah, dan anak-anaknya juga masih kecil," katanya.

Berasal dari Pulau Pinang, Mohd Fauzi, bekas pemain kebangsaan bagi posisi tekong pernah membantu pasukan negara meraih sebutir perak dan sebutir gangsa pada temasya Sukan Asia Busan 2002 dan dua perak pada Sukan SEA Vietnam 2003.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata negara kehilangan antara bekas pemain tekong terbaik yang pernah mengharumkan nama negara.

"Saya mendapat berita pemergian beliau di Twitter pagi tadi. Saya telah meminta Majlis Sukan Negara melihat beberapa perkara yang perlu dibantu bagi meringankan beban keluarga Allahyarham," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada satu majlis di Bukit Kiara di sini Sabtu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan