Hoki: Skuad Wanita Kebangsaan Sasar Kedudukan Empat Terbaik Piala Asia

Diterbitkan: Selasa, 20 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita kebangsaan menyasar untuk menamat cabaran dalam kelompok empat terbaik kejohanan Hoki Piala Asia 2013 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dekat sini selama seminggu mulai 21 September ini.

Jurulatih skuad wanita negara Mohd Nasihin Nubli Ibrahim bagaimanapun berharap anak buahnya dapat menampil aksi cemerlang untuk merangkul kejuaraan, sekaligus melayakkan diri ke Piala Dunia ke-13 di The Hague, Belanda pada Jun 2014.

"Memang saya mahu mereka jadi juara tetapi kita kena realistik dalam meletakkan sasaran. Saya percaya mereka mampu bermain dengan cemerlang apabila berdepan Hong Kong.

"Namun menentang China yang merupakan antara lima pasukan terbaik dunia serta India yang sentiasa mempamerkan prestasi terbaik, peluang kita agak kurang untuk mengumpul mata penuh," katanya.

Pada Piala Asia 2013, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama juara dan naib juara edisi 2009, China dan India serta Hong Kong manakala juara dua kali Korea Selatan mengetuai cabaran Kumpulan B yang turut terdiri dari Jepun, Taiwan dan Kazakhstan.

Skuad hoki wanita Malaysia yang berada di ranking ke-22 dunia sedang mengharungi enam ujian perlawanan persahabatan bersama pasukan Universiti Sukan Kebangsaan Korea yang turut memiliki empat pemain senior skuad hoki wanita Korea Selatan.

Dalam empat aksi itu di sini sebelum ini, Malaysia hanya menang sekali iaitu 2-1 pada perlawanan persahabatan ketiga, seri 2-2 pada aksi pertama manakala tewas dua kali, masing-masing pada perlawanan kedua dan keempat iaitu 1-4 dan 2-6.

"Pasukan Korea Selatan bermain dengan pantas dan ini merupakan sesuatu yang baik untuk kami pelajari daripada segi teknik mereka. Kita cuba menangkis segala serangan mereka dan ini dapat menguatkan barisan pertahanan kita," kata Nasihin.

Skuad negara baharu kembali dari Australia selepas beraksi dalam beberapa perlawanan persahabatan menentang pasukan kelab di sana.

Untuk rekod, pencapaian terbaik skuad hoki wanita negara pada Piala Asia ialah menduduki tangga ketiga pada 1985 ketika Korea Selatan menjadi tuan rumah dan muncul juara pada kejohanan berkenaan.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan