Nadia Sasar Skuad Hoki Wanita Mara Ke Separuh Akhir Piala Asia

Diterbitkan: Khamis, 8 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia mampu melangkah sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir Kejohanan Hoki Wanita Piala Asia di sini dari 21 hingga 29 September ini, menurut kapten Nadia Abdul Rahman.

Beliau percaya Malaysia mampu mencapai sasaran sekiranya dapat mengalahkan China atau India yang kini merupakan kuasa utama hoki wanita di rantau ini.

Kejohanan tersebut merupakan medan terakhir untuk skuad negara mencipta sejarah apabila juara Piala Asia itu layak bertanding pada Piala Dunia ke-13 di The Hague, Belanda, pada Jun 2014.

Pada Piala Asia itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama juara dan naib juara edisi 2009, China dan India serta Hong Kong manakala juara dua kali, Korea Selatan mengetuai cabaran dalam Kumpulan B bersama Jepun, Taiwan dan Kazakhstan.

"Walaupun laluan kita agak berliku pada edisi tahun ini, saya yakin sasaran ke separuh akhir mampu dicapai," kata Nadia kepada Bernama baru-baru ini.

Pemain veteran itu berkata, skuad negara baru sahaja kembali dari Australia selepas menyertai beberapa perlawanan persahabatan menentang pasukan kelab di sana dan telah menimba pengalaman berguna sepanjang berada di negara itu.

Nadia, yang mengetuai skuad berkenaan sejak empat tahun lepas, berkata sebagai persediaan awal Piala Asia, mereka dijangka mengadakan lima perlawanan persahabatan dengan pasukan Korea National Sport University (KNSU) sekembalinya mereka daripada cuti Aidilfitri nanti.

"Perlawanan itu dijangka diadakan di sini, berkemungkinan dalam minggu kedua Aidilfitri...Bagi saya, pasukan dari Korea ini sememangnya handal memandangkan majoriti daripada mereka adalah pemain kebangsaan Korea Selatan," kata anak jati Jerantut, Pahang itu.

Nadia, 28, membuat penampilan sulung pada pentas antarabangsa pada Sukan Komanwel Manchester 2002 di England ketika berusia 17 tahun.

Untuk rekod, pencapaian terbaik skuad hoki wanita negara pada kejohanan Piala Asia ialah menduduki tangga ketiga pada 1985 ketika dihoskan oleh Korea Selatan yang kemudian muncul juara. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan