Kes Rogol Pada Sukma 2013: PBBM Tambah Baik SOP

Diterbitkan: Jumaat, 12 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persekutuan Bola Baling Malaysia (PBBM) akan menambahbaik Prosedur Operasi Standard (SOP) badan induk itu berikutan kes rogol membabitkan atlet Wilayah Persekutuan (WP) semasa Sukan Malaysia (Sukma) ke-16, minggu lepas.

Presidennya, Pandak Ahmad berkata, SOP itu akan diguna pakai oleh semua pegawai dan atlet yang terlibat dalam sesuatu kejohanan atau temasya sukan agar insiden memalukan itu tidak berulang.

Beliau berkata, satu mesyuarat khas akan diadakan dalam tempoh dekat untuk membincangkan mengenai penambahbaikan SOP sedia ada.

"Saya akan mencadangkan beberapa syor pembaharuan dalam SOP tersebut sebelum sebuah jawatankuasa khas meneliti dan membuat keputusan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Jumaat.

Pandak berharap penambahbaikan SOP itu dapat diguna pakai pada dua kejohanan akan datang iaitu Kejohanan Bawah 16 Tahun di Melaka, November ini dan Kejohanan Kebangsaan di Perak. Disember ini.

Katanya, antara penambahbaikan ialah dari segi pengurusan kerana jika pihak pengurusan leka dan mengambil sikap mudah terhadap pasukan masing-masing maka ia akan menyebabkan atlet mereka bertindak sesuka hati sehingga menjejaskan reputasi skuad berkenaan.

Selain itu, beliau akan memastikan SOP terbaharu itu menyenarai garis panduan berhubung pelantikan pegawai pengiring oleh sesuah pasukan bahawa mereka yang dilantik itu lebih berpengalaman dan boleh mengawal tingkah laku atlet.

"Sebelum ini, mereka (atlet) tidak diberitahu secara langsung kerana kita anggap mereka sudah tahu. Tetapi, apabila berlaku sesuatu tidak diingini, mereka menyalahkan kita kerana mereka kata, tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai SOP itu.

"Mulai sekarang, atlet perlu diberi taklimat mengenai SOP itu sebelum bermulanya sesuatu kejohanan bagi memastikan mereka jelas dengan peraturan yang perlu dipatuhi," katanya.

SOP badan induk itu, sebelum ini menggariskan agar atlet mematuhi had waktu keluar-masuk dari kem penginapan masing-masing, tidak mengambil bahan terlarang seperti minuman keras dan dadah serta akur terhadap peraturan yang ditetapkan penganjur.

Pada Khamis, tiga atlet bola baling WP mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan merogol pegawai pengiring wanita berusia 20 tahun di Perkampungan Sukan Sukma 2013 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, 4 Julai lepas. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: PBBM , SOP , Wilayah Persekutuan , Sukma

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan