Jurulatih Dan Pengurus Harus Jadi Contoh Baik Kepada Atlet - Khairy

Diterbitkan: Isnin, 8 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Pengurus dan jurulatih harus bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan disiplin yang baik dalam kalangan atlet bagi memastikan tiada insiden salah laku.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, sebagai jurulatih dan pengurus pasukan, mereka bukan sahaja memberikan nasihat dalam bidang sukan yang diceburi, malah menjadi model peranan kepada atlet.

"Ini penting terutama membabitkan atlet pelapis, sebagai jurulatih yang berpengalaman seharusnya memberikan contoh yang baik kepada atlet mereka," katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan atlet di Kementeria Belia dan Sukan di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung seorang pegawai pengiring yang mendakwa dirogol tiga atlet bola baling Wilayah Persekutuan di perkampungan Sukan Malaysia (Sukma) ke-16 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Rabu lepas.

Susulan laporan yang dibuat mangsa, polis menahan tiga atlet bola baling lelaki Sukma 2013 bagi membantu siasatan berkaitan kes rogol yang dilaporkan di perkampungan sukan di UPM, Rabu lepas.

Khairy berkata, laporan yang diterima mendapati sebelum kejadian tersebut pemain dikatakan membawa masuk minuman keras ke perkampungan sukan malah diketahui jurulatih mereka.

"Apa yang jurulatih buat...Saya mendapati mereka (jurulatih dan pengurus pasukan) gagal dalam memberikan contoh yang baik kepada atletnya," tegasnya.

Beliau berkata, insiden seumpama itu tidak boleh dikompromi dan ekoran itu satu jawatankuasa yang dianggotai pegawai Persekutuan Bola Baling Malaysia (PBBM), Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) dan Majlis Sukan Negara (MSN) telah ditubuhkan bagi mempercepat siasatan kejadian itu.

Katanya, penubuhan jawatankuasa itu juga bagi menyiasat keselamatan penganjuran Sukma oleh MSN.

Namun Khairy menganggap insiden itu juga bukan bermakna para atlet mempunyai krisis disiplin kerana baginya Malaysia mempunyai atlet yang cukup baik disiplinnya seperti pemain badminton nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei malah ribuan atlet datang dan pergi tanpa sebarang masalah.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata 'Skim Penampilan Atlet' telah diperkenalkan dalam usaha memasarkan atlet negara yang berbakat untuk menjadi jurucakap atau model sesuatu produk di pasaran.

"Usaha ini bagi membangunkan industri sukan serta meningkatkan kebolehpasaran atlet," katanya sambil menambah telah melakukan kerjasama dengan agensi periklanan.

Katanya, hari ini hanya atlet tertentu sahaja yang berjaya menarik minat syarikat swasta seperti Datuk Nicol David dan Chong Wei namun sebenarnya ramai lagi yang megah di peringkat dunia dan kebangsaan tetapi tidak berjaya menembusi dunia periklanan.

Tambahnya perkara itu kini masih dalam peringkat permulaan dan atlet yang ada kebolehpasaran serta mempunyai ketrampilan akan dikenalpasti dan diserahkan kepada 'casting agency' untuk diwujudkan pangkalan data.

"Skim tersebut juga bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan melalui penglibatan sektor swasta terhadap penganjuran sukan di Malaysia.

"Untuk tahun ini sahaja, kerajaan membelanjakan sehingga RM50 juta bagi penganjuran sukan seperti Sukma dan Monsun Cup dan diharapkan pada tahun-tahun akan datang jumlah itu akan berkurangan," katanya.

Katanya, wang itu boleh digunakan untuk perkara lain seperti pembangunan sukan serta mengenal pasti bakat-bakat baru dalam sukan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan