Selangor Muncul Juara Sukma ke-16 Buat Kali Ketujuh

Diterbitkan: Ahad, 7 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Selangor berjaya muncul juara keseluruhan buat kali ketujuh apabila menyingkirkan juara bertahan Terengganu sehari sebelum edisi ke-16 Sukan Malaysia (Sukma) melabuhkan tirainya pada Ahad.

Selangor mengekori Terengganu, selaku pendahulu, dengan ketinggalan tiga butir emas semalam, bagaimanapun melonjak ke tangga teratas pada hari ke-10 hari ini dengan menambah sembilan butir emas.

Selangor mencengkam kedudukan tangga teratas dengan 23 emas, 16 perak dan 28 gangsa manakala Terengganu di tangga kedua dengan 19 emas, 13 perak dan 13 gangsa.

Wilayah Persekutuan kekal di tangga ketiga dengan pungutan 15 emas, 19 perak dan 26 gangsa.

Walaupun, hanya tiga emas menjadi rebutan pada hari terakhir esok, kedudukan Selangor tidak dapat dicabar oleh Terengganu apabila kemungkinan Selangor menambah kilauan emas dalam dua acara akhir ping pong.

Sebutir lagi emas adalah dalam perlawanan akhir ragbi.

Tiga daripada pingat emas Selangor hari ini diperolehi melalui acara bola tampar pantai berpasukan lelaki dan wanita serta bola tampar dewan lelaki selepas masing-masing mengalahkan Terengganu, Kedah dan Sarawak.

Kontinjen Merah-Kuning itu turut mengutip dua pingat emas daripada acara Silambam melalui K.Kausalya dan S.Yogarathi masing-masing dalam kategori berat badan 30-35kg lelaki dan 41-45kg wanita.

Selangor terus menguasai acara ping pong apabila dua pingat emas ditambah menerusi acara beregu campuran dan beregu wanita. Sementara itu, Kelantan muncul sebagai kuasa besar acara Muay Thai selepas petinjunya membolot lima pingat daripada 12 pingat emas yang ditawarkan.

Perlis merupakan satu-satunya negeri yang gagal merangkul emas apabila menduduki tangga tercorot dengan tiga perak dan empat gangsa. -BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Selangor , juara , kali ketujuh , Sukan Malaysia , Sukma

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan