Sarawak Kekalkan Pingat Emas Kategori Wanita

Diterbitkan: Sabtu, 6 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Sarawak menutup tirai acara bola tampar dewan temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-16 dengan mengekalkan pingat emas apabila berjaya mengalahkan Johor 3-2.

Pada perlawanan di Dewan MBSA, di sini, Sabtu skuad bimbingan Moh Wung Ming bermula dengan cemerlang selepas menguasai dua set awal dengan 25-23 dan 25-14, bagaimanapun Johor bangkit pada dua set berikutnya dengan 25-13 dan 25-18.

Namun percaturan pemain Sarawak berjaya mengatasi Johor pada set penentuan dengan 16-14.

"Pada dua set pertama Johor sudah ketinggalan, kami mendapat kemenangan mudah dan ini menyebabkan kami leka sehingga tewas pada set berikutnya kepada pasukan Johor. "Namun pada set kelima apabila kedudukan seri 14-14, saya memang yakin bahawa skuad Sarawak mampu mempertahankan gelaran," kata Moh kepada pemberita selepas upacara penyampaian pingat.

Acara itu menyaksikan gangsa diraih pasukan Perak apabila berjaya menundukkan Selangor 3-0.

Sementara itu bagi acara bola tampar dewan lelaki, pingat emas dimenangi Selangor yang mengalahkan Sarawak 3-0 (25-17, 25-13 dan 25-20) manakala gangsa diraih oleh Terengganu setelah mengatasi Pahang 4-1 (24-26, 25-27, 25-15, 25-14 dan 15-10). - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan