Larian Marathon 2013 Ditangguh Jika Jerebu Teruk Ahad Ini - Sukan Ekstra | mStar

Larian Marathon 2013 Ditangguh Jika Jerebu Teruk Ahad Ini

Diterbitkan: Selasa, 25 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Standard Chartered KL Marathon 2013, yang dirancang berlangsung Ahad ini, tetap akan diteruskan jika keadaan jerebu tidak menghalang.

Pengarah Dirigo Events Sdn Bhd Rainer Biemans berkata pihaknya bagaimanapun memantau situasi jerebu dari semasa ke semasa dan akan memaklumkan sebarang perubahan acara itu selewat-lewatnya malam Sabtu.

"Kita memberi keutamaan kepada kesihatan peserta. Maka sekiranya jerebu menjadi teruk, kita akan mengumumkan penangguhan acara berkenaan selewat-lewatnya pada malam Sabtu atau awal pagi Ahad," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, Isnin.

Beliau berkata seramai 33,000 peserta akan mengambil bahagian dalam acara berkenaan namun pihaknya tetap akan menyediakan kemudahan perubatan, termasuk topeng muka, bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Pada sidang media sama, Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur ACP Rusli Mohd Noor berkata kira-kira 48 jalan sekitar ibu kota akan ditutup secara berperingkat dari 4 pagi hingga 11 pagi pada Ahad bagi melancarkan acara itu.

Jalan yang terlibat ialah Jalan Parlimen, Jalan Raja di kedua-dua hala, Jalan Ampang, Jalan Bukit Bintang, Jalan Cheras, Jalan Damansara ke KL Sentral/Bangsar, Jalan Dato Onn kedua-dua arah, Jalan Dewan Bahasa dan Jalan Duta, Jalan Ipoh, Jalan Kuching, Jalan Istana, Jalan Kinabalu, Jalan Klang Lama, Jalan Langgak Tunku, Jalan Lembah, Jalan Loke Yew dan Jalan Mahamehru.

Jalan Maharajalela, Jalan P.Ramlee, Jalan Raja Chulan, Jalan Raja Laut, Jalan Semarang, Jalan Sultan Hishammuddin, Jalan Sultan Salahuddin, Jalan Sultan Sulaiman, Jalan Sungai Besi, Jalan Syed Putra, Jalan Travers, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun Ismail, Jalan Tun Razak, Jalan Tun Sambanthan, Jalan Tunku, Jalan Yap Kwan Seng, Jalan Yew dan Lebuhraya Hubungan Timur-Barat.

Rusli menasihatkan orang ramai agar menggunakan laluan alternatif seperti Jalan Loke Yew, Jalan Kuching, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tun Razak serta bulatan Sungai Besi jika ingin ke pusat bandar raya dari Kajang, Setapak dan Lebuhraya Seremban.

Beliau berkata seramai 300 anggota polis trafik dan 100 pegawai penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan ditugaskan untuk mengawal trafik.

Katanya, kesemua jalan akan dibuka semula secara berperingkat sehingga acara selesai pada 11 pagi. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan