KBS Usul Memorandum Status Malaysia Sebagai Tuan Rumah Sukan SEA 2017

Diterbitkan: Khamis, 20 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengemukakan memorandum kepada Kabinet berhubung status Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA 2017, kata menterinya, Khairy Jamaluddin.

Katanya, beliau akan meminta pegawai kementerian dan Majlis Sukan Negara (MSN) menyediakan butiran terperinci dalam tempoh dua bulan mengenai anggaran kos untuk penganjuran temasya dwitahunan itu.

"Kita kena buat keputusan sebelum Sukan SEA 2013 di Myanmar, Disember ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penajaan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16, di sini, Rabu.

Khairy berkata, sebagai pihak yang mengeluarkan perbelanjaan menganjurkan temasya itu, hanya kerajaan yang akan membuat keputusan berhubung perkara itu kerana ia melibatkan wang rakyat.

Mengulas kenyataan Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi bahawa menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017 bukan lebih rumit berbanding SUKMA, Khairy berkata kedua-dua temasya tersebut adalah berbeza.

Menurutnya SUKMA melibatkan program pembangunan atlet pelapis dan kebangsaan sedangkan Sukan SEA membabitkan penyertaan alet luar.

Dalam laporan media pada Rabu, Kok Chi juga berkata tidak ada alasan untuk Malaysia menolak tawaran menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017 berikutan jumlah kontingen dan atlet adalah lebih rendah daripada SUKMA.

Myanmar menjadi tuan rumah Sukan SEA 2013 diikuti Singapura pada 2015 dan sekiranya Malaysia menolak tawaran 2017 itu maka tanggungjawab itu akan diambil alih oleh Brunei yang dijadual menjadi hos pada 2019.

Mengenai penajaan SUKMA ke-16 di sekitar Lembah Klang dari 28 Jun hingga 7 Julai ini, Khairy berkata ia melibatkan kos sebanyak RM9 juta.

Bagaimanapun, kata pihak penganjur hanya memperoleh penajaan berjumlah RM1 juta daripada sektor korporat termasuk Resort World Genting, Nestle Sdn Bhd, Proton, 100Plus dan Pemodalan Nasional Berhad (PNB). - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan