Khairy Tegur Naim Umum Cadangan Bina Velodrom Tertutup

Diterbitkan: Selasa, 18 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Cadangan untuk membina sebuah velodrom tertutup kelas satu belum mencapai sebarang keputusan kerana perkara itu masih lagi di peringkat perbincangan, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

"Kementerian Belia dan Sukan (KBS) belum membuat keputusan berhubung pembinaan satu velodrom tertutup bertaraf antarabangsa seperti dinyatakan oleh Timbalan Presiden Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad.

"Beliau tidak berhak membuat apa-apa keputusan tentang pembinaan velodrom kelas satu itu. Saya dah minta Ketua Pengarah MSN (Datuk Seri Zolkples Embong) tegur Datuk Naim sebab bukan beliau yang buat keputusan tersebut. KBS belum buat apa-apa keputusan lagi.

"Perbincangan membabitkan kedua-dua belah pihak iaitu antara MSN dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini baru di peringkat perbincangan awal," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini Isnin.

Khairy berkata pembinaan velodrom bertaraf antarabangsa itu memerlukan penelitian yang menyeluruh kerana ia melibatkan wang rakyat.

Belanjawan 2013 memperuntukkan RM80 juta untuk pembinaan sebuah velodrom tertutup di Nilai, Negeri Sembilan.

Selain itu, pihak DBKL juga berhasrat untuk membangunkan sebuah velodrom tertutup kelas satu bagi menggantikan Velodrom Kuala Lumpur yang ada sekarang dan bakal dirobohkan bagi memberi laluan untuk pembinaan projek komersil. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan