Atlet Malaysia Akan Terus Ke Venue Sukan SEA Myanmar Dengan Penerbangan Khas

Diterbitkan: Selasa, 18 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Atlet Malaysia ke Sukan SEA di Myanmar Disember ini akan diterbangkan terus ke venue kejohanan di Naypyitaw dengan penerbangan khas.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi berkata penganjur kejohanan bersetuju menyediakan penerbangan khas untuk kontinjen negara dari Kuala Lumpur terus ke Naypyitaw, yang juga pusat pentadbiran Myanmar, menggunakan Myanmar Airlines.

"Jaminan itu diberikan oleh pihak penganjur Sukan SEA kepada kita menerusi sepucuk surat baru-baru ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran jam tangan terbaharu, Suunto Ambit 2 dan 2s, oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

Dengan kemudahan penerbangan khas itu, anggota kontinjen negara tidak perlu bermalam di Yangon sebelum menyambung perjalanan ke Naypyitaw dengan penerbangan domestik, katanya.

Mengenai soal keselamatan berikutan perbalahan etnik di negara itu, Sieh berkata perkara berkenaan tidak berbangkit memandangkan penganjur Sukan SEA Myanmar sudah memberikan jaminan bahawa keadaan di negara itu adalah terkawal.

"Malahan beberapa persatuan sukan kebangsaan dan media tempatan yang sudah melakukan tinjauan awal sebelum ini memberi maklum balas positif kepada kita mengenai keadaan keselamatan di negara itu," katanya.

Dikatakan, beberapa akhbar di Myanmar sebelum ini melaporkan bahawa penganjur Sukan SEA di negara itu bercadang menunda penganjuran temasya sukan dwi-tahunan itu disebabkan pergolakan etnik.

Dalam perkembangan lain, Sieh berkata beliau menyerahkan kepada anggota gabungan MOM untuk menentukan nasibnya pada mesyuarat agung tahunan badan induk sukan kebangsaan itu Sabtu ini.

Mesyuarat berkenaan yang diadakan untuk memilih ahli exco MOM bagi penggal 2013-2015 akan mempertandingkan beberapa jawatan penting seperti Timbalan dan Naib Presiden selain jawatan Setiausaha Kehormat.

Presiden MOM Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar mengekalkan jawatannya berikutan tiada pencalonan untuk mencabar kedudukan beliau pada hari pencalonan, Selasa lepas. Sieh yang menjadi Setiausaha Kehormat MOM sejak 1992 bakal dicabar oleh Penolongnya, T. Kumar. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan