MSNT Tingkat Aspek Keselamatan Atlet Berbasikal

Diterbitkan: Selasa, 11 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) kini mengambil langkah tambahan memperketatkan kawalan bagi memastikan keselamatan atlet berbasikal semasa menjalani latihan, terjamin.

Pengarahnya, Zainal Abidin Hussin berkata, ini termasuklah memastikan kenderaan pengiring atlet seperti van dan motosikal dilengkapi lampu amaran.

"Ini semua kita buat dalam kadar segera dan kini dah mula dikuatkuasakan," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Menurut beliau lazimnya setiap kali latihan, MSNT menyediakan sebuah van berada di hadapan dan sebuah motosikal jurulatih mengiringi di belakang.

Rabu lepas, Mohd Shafiq Imran Syahril, 15, atlet lumba basikal dari Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) maut manakala dua lagi rakannya cedera selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler ketika menjalani latihan di Kampung Bukit Guntung, Tepoh di sini.

Zainal berkata, buat masa ini MSNT memberhentikan dahulu latihan atlet berbasikal sebagai mengenang dan memberi penghormatan kepada Allahyarham dan akan menyambung latihan tidak lama lagi.

"Selepas ini kita akan teruskan latihan dan berharap kejadian itu tidak menjejaskan semangat atlet untuk terus berjuang," katanya.

Atlet basikal yang menjalani latihan itu terdiri daripada pasukan skuad Sukma, skuad pelapis dan juga skuad pembangunan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan