Azizulhasni Gembira Walaupun Belum Capai Prestasi Terbaik

Diterbitkan: Isnin, 10 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang gembira beliau mampu memberi saingan walaupun belum mencapai prestasi terbaik.

"Saya datang ke kejohanan ini (Siri Grand Prix Asia Tenggara) semata-mata untuk latihan. Saya tahu kejohanan ini saingannya agak kuat juga khususnya daripada pelumba-pelumba Australia, jadi saya tak mahu lepas peluang untuk mencuba.

"Saya pun baru tiba dari Australia semalam sebab baru sahaja selesai peperiksaan universiti. Sebab itu juga saya hanya sertai satu sahaja acara di sini," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Pada acara keirin lelaki elit Siri Kedua Grand Prix Trek Asia Tenggara di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras itu, Mohd Azizulhasni meraih pingat gangsa dengan catatan masa 10.893 saat.

Pingat emas dan perak masing-masing menjadi milik pelumba dari Australia, Scott Sunderland dan Peter Lewis.

Sunderland yang mewakili Jayco Team mencatat masa 10.674s manakala Lewis daripada pasukan kebangsaan Australia mencatat masa 10.806s.

Tumpuan Mohd Azizulhasni selepas ini ialah Grand Prix Jerman minggu hadapan.

"Bagaimanapun saya akan menyertai Kejohanan Trek Kebangsaan yang bermula Rabu ini di sini sebelum ke Jerman. Saya akan mewakili Terengganu," katanya.

Sementara itu, ratu trek negara, Fatehah Mustapa dan pelumba pelapis Muhammad Firdaus Mohd Zonis mencuri tumpuan dengan masing-masing menambah dua lagi pingat emas pada hari terakhir kejohanan pada Isnin.

Fatehah dan Muhammad Firdaus masing-masing meraih pingat emas dalam acara keirin dan pecut berpasukan.

"Saya amat gembira kerana sasaran saya tercapai pada siri kedua ini untuk meraih empat pingat emas. Jika pada siri pertama minggu lepas saya hanya mendapat tiga pingat emas dan satu perak.

"Selepas ini saya hanya akan menumpukan masa untuk latihan bagi menghadapi Kejohanan Remaja Dunia pada Ogos ini...mungkin sebelum Hari Raya. Walaupun saya mengambil bahagian dalam empat acara tetapi tumpuan saya lebih kepada acara 1 km ujian masa," katanya.

Pelumba berusia 16 tahun itu juga akan menyertai Kejohanan Trek Kebangsaan dan akan mewakili Selangor. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan