Penglibatan Bekas Atlet Dalam Perniagaan Kurang - Zolkples

Diterbitkan: Ahad, 12 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Penglibatan atlet negara selepas bersara dalam bidang perniagaan terlalu kecil, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Seri Zolkples Embong.

Katanya rata-rata bekas atlet meneruskan kerjaya mereka memilih menjadi jurulatih sukan dan pengurusan persatuan sukan. Beliau berkata mereka wajar memikirkan untuk menceburi bidang perniagaan bagi menjamin masa depan namun ramai bimbang menghadapi risiko bankrap.

"MSN tiada data mengenai penglibatan bekas atlet dalam perniagaan tapi bilangan mereka sangat kecil," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kecergasan dan Usahawan serta melancarkan alatan senaman di sebuah pusat beli-belah di sini Sabtu.

Katanya MSN dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan bersedia membantu atlet negara yang berminat menceburi bidang perniagaan selepas bersara melalui pelbagai program pembangunan usahawan.

"MSN mengalu-alukan atlet yang mahu menceburi bidang perniagaan dan mereka boleh berjaya seperti bekas atlet angkat berat negara, Firdaus Abdul Razak yang menceburi pusat kecergasan dan gimnasium di bandar ini," katanya.

Pada majlis itu Zolkples mencuba alat senaman baharu iaitu Magic Rider yang dilancarkan oleh syarikat Firdaus Fitness and Gym Sdn Bhd. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan