Naim Sah Tidak Bertanding Jawatan Setiausaha MOM

Diterbitkan: Khamis, 2 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamed mengulangi pendiriannya untuk tidak bertanding jawatan setiausaha kehormat pada pemilihan pucuk pimpinan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), 22 Jun ini.

Jawatan itu disandang oleh Datuk Sieh Kok Chi sejak 1992.

Naim berkata Kok Chi, 74, ada meminta beliau bertanding jawatan tersebut pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan sukan itu tetapi beliau enggan.

"Saya tidak mempunyai cita-cita untuk jawatan dalam MOM kecuali mewakili PKBM dan menjaga kepentingan sukan berbasikal dalam keluarga MOM.

"Jika MOM meminta melaksanakan tugas lain dalam membantu sukan negara secara am, saya melaksanakan dengan sebaik mungkin," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Naim berkata beliau amat berbesar hati dan bangga kerana diberi kepercayaan untuk menjadi Che de Mission bagi Sukan Komanwel Remaja 2004 dan Sukan SEA Indonesia 2011.

"Dalam PKBM sendiri, saya sudah beri notis bahawa ini merupakan penggal terakhir saya dan tidak akan menawarkan diri untuk dicalonkan pada pemilihan akan datang," katanya.

Naim juga berkata beliau puas hati dengan pembangunan sukan berbasikal di Malaysia kerana kepimpinan hebat bekas presiden seperti Tan Sri Elyas Omar, Tan Sri Darshan Singh dan kini Datuk Abu Samah Abd Wahab.

Beliau berkata lebih banyak perlu dilakukan untuk membangunkan masa depan sukan berbasikal di Malaysia.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan