Bintang Renang Selangor Belum Pasti Sertai Kejohanan Di Barcelona - Sukan Ekstra | mStar

Bintang Renang Selangor Belum Pasti Sertai Kejohanan Di Barcelona

Diterbitkan: Isnin, 22 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Atlet renang Selangor Lim Ching Hwang belum membuat keputusan berhubung penyertaannya pada Kejohanan Renang Dunia di Barcelona Ogos ini, walaupun berjaya melayakkan diri dalam Kejohanan Renang Kebangsaan Peringkat Umur ke-49 yang berakhir pada Ahad.

Bintang berusia 17 tahun yang kian menyinar itu berkata ini kerana beliau ingin menumpukan perhatian kepada Sukan Olimpik Remaja 2014 di Nanjing, China dan Kejohanan Renang Remaja Asia.

"Kejohanan (renang kebangsaan) ini merupakan satu latihan berkualiti tinggi bagi saya dalam menghadapi perlawanan lebih besar nanti.

"Melalui kejohanan ini juga, saya dapat mengumpul banyak pengalaman," katanya kepada pemberita di akhir kejohanan tiga hari di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil di sini.

Ching Hwang layak ke Kejohanan Renang Dunia menerusi acara 200 meter gaya bebas lelaki (15 hingga 17 tahun) dengan catatan masa 1 minit 51.83 saat, mengatasi rekodnya sendiri tahun lepas iaitu 1m 52.68s.

Beliau meraih dua lagi pingat emas melalui acara 4x100m rampaian berkumpulan lelaki (15-17) dengan catatan masa 3m 54.29s, dan 50m gaya bebas lelaki (23.82s).

Hong Kong muncul juara keseluruhan kejohanan itu dengan mengumpul 43 pingat emas, 36 perak dan 32 gangsa.

Di tempat kedua ialah Selangor dengan 28 emas, 38 perak dan 27 gangsa diikuti Sarawak (26-20-22), Johor (20-11-11) dan Kuala Lumpur (19-23-36). - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan