Kejohanan Paintball Piala Dunia Asia 2013 Sasar Penyertaan Lebih 200 Pasukan

Diterbitkan: Rabu, 6 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lebih 200 pasukan tempatan dan antarabangsa dijangka berentap pada Kejohanan Paintball Piala Dunia Asia 2013 (LWCA) yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri, Langkawi, Kedah pada November ini.

Pengasas Kejohanan Siri Liga Paintball Asia (PALS) merangkap penganjur bersama LWCA 2013 Paul Lam berkata pihaknya mengharapkan penyertaan lebih tinggi pada tahun ini berbanding 180 pasukan tahun lepas kerana sambutan yang diterima adalah memberangsangkan.

Bercakap kepada pemberita selepas pelancaran awal kejohanan itu oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di sini hari ini, Lam berkata beberapa pasukan profesional dari Amerika Syarikat dan Eropah serta juara bertahan Demonz dari Iran, telah menyatakan minat untuk mengambil bahagian dalam kejohanan itu.

Beliau berkata 16 pasukan profesional terdiri daripada empat pasukan teratas dari benua Asia, Eropah dan Amerika Syarikat selain dua pasukan teratas dari Amerika Selatan dan Afrika Selatan sebelum itu akan bersaing pada Piala Antara Benua.

Semua pasukan ini layak bersaing di Piala Antara Benua menerusi pertandingan paintball serantau di setiap benua sebelum kejohanan di Langkawi bermula.

"Memandangkan Piala Antara Benua merupakan kejohanan jemputan, kami hanya menjemput pasukan paintball yang berada di kedudukan teratas dari setiap benua," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AKR Events Syed Sherezal Shahabudin berkata Langkawi dipilih sebagai destinasi siri kejohanan tersebut bagi Asia sejak 2010.

AKR Events ialah penganjur bersama kejohanan itu.

"Pihak kami telah bekerjasama erat dengan PALS sejak 2009 bagi membolehkan kita mendapat hak penganjuran untuk siri kejohanan ini untuk benua Asia dan hasilnya, kita berjaya mendapat hak penganjuran kekal sehingga tahun ini di Pulau Langkawi.

"Kita memang meletakkan harapan yang tinggi supaya kejohanan paintball bagi benua Asia akan terus dikekalkan di venue yang sama pada masa akan datang," katanya.

LWCA adalah sebahagian daripada Kejohanan Siri Liga Paintball Asia (PALS) dan siri pertama berlangsung dengan jayanya di Thailand pada hujung minggu lepas.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan