Arredondo Moreno Tawan Genting Highlands Untuk Bolot Jersi Kuning, Merah

Diterbitkan: Isnin, 25 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GENTING HIGHLANDS: Pakar pendakian pasukan Team Nippo-De Rosa dari Colombia, Julian David Arredondo Moreno menawan laluan sukar dan berliku Genting Highlands dalam cuaca hujan dan sujuk untuk menguasai Peringkat lima di sini, Isnin.

Dalam perlumbaan yang bermula dari Pusat Kecemerlangan Proton di Shah Alam ke Genting Highlands, sejauh 110.30km, Arredondo Moreno mengetepikan pelumba Belanda Pieter Weening dari pasukan Orica GreenEdge dan pelumba Colombia, Victor Nino Corredor dari pasukan RTS Racing Team untuk memenangi perlumbaan itu.

Arredondo Moreno, 25, mengambil masa tiga jam, 11 minit dan 41 saat untuk menamatkan perlumbaan itu, hanya 26 saat di depan Weening.

"Strategi pasukan kami pada hari ini ialah tunggu dan lihat, terutamanya mengenai bagaimana pendahulu perlumbaan (Wang Meiyin dari pasukan Hengxiang Cycling Team) bertindak. Apabila dia kurang bermaya, pasukan saya mula mengasak dan saya berjaya memenangi perlumbaan hari ini dan jersi Kuning.

"Ini kemenangan terbaik saya dan saya harap untuk mencatat kejayaan lebih baik tahun ini," katanya.

Selepas peringkat 5, Arredondo Moreno mengumpul 17'43:20s, hanya 01:22s di hadapan Weening untuk menyarung jersi Kuning sebagai pelumba terbaik keseluruhan.

"Kami akan cuba mengekalkan jersi ini. Saya mahu memenangi perlumbaan ini (juara keseluruhan)," katanya.

Selain menjulang kemenangan peringkat dan jersi Kuning, beliau juga merampas Jersi Merah (Raja Bukit) daripada Wang dengan perbezaan hanya satu mata selepas Arredondo Moreno mengumpul 45 mata berbanding Wang 44 mata.

Sementara itu, Wang nyata kecewa apabila terpaksa melepaskan jersi Merah kepada Arredondo Moreno.

"Saya berasa agak kecewa hari ini kerana saya kehilangan jersi Merah tetapi saya masih menaruh harapan yang pasukan saya akan membantu saya memenanginya semula. Saya telah melakukan yang terbaik sepanjang perlumbaan ini," kata Wang, yang mengekalkan jersi Putih sebagai Pelumba Terbaik Asia Keseluruhan bagi lima peringkat berturut-turut.

Jersi Biru (Raja Pecut) kekal menjadi milik pelumba Itali Andrea Guardini dari pasukan Astana Pro Team dan pelumba berumur 24 tahun itu berharap terus mengungguli peringkat seterusnya untuk mengekalkan jersi itu.

Perlumbaan peringkat enam esok membabitkan laluan terpanjang meliputi jarak 217.5km.

Laluan itu bermula di Mentakab, Pahang dan baki 130 penunggang akan melalui tiga zon pecut (Jerantut, Bandar Jengka dan Maran) dan tiga kategori pendakian di Sungai Piul, Kota Gelanggi dan Jengka, sebelum menamatkan perlumbaan di Kuantan, Pahang. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan