Chicchi Raih Kemenangan Peringkat Pertama LTDL

Diterbitkan: Ahad, 24 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KLANG: Pelumba Itali Francesco Chicchi dari pasukan Vini Fantini-Selle Italia meraih kemenangan pertama dalam Le Tour de Langkawi 2013 dari Tapah ke Kapar, Ahad.

Chicchi, 33, mencatat masa tiga jam, 44 minit dan 22 saat dalam pecutan beramai-ramai ke garisan penamat di Kapar, mendahuli rakan senegaranya Andrea Guardini dari Astana Pro Team.

"Ini kali pertama saya berlumba di Malaysia...khususnya dalam LTdL. Pada mulanya, sasaran saya ialah mencapai kemenangan sekurang-kurangnya untuk satu peringkat dan cuba mendapatkan jersi biru. Bagaimanapun, perlumbaan pada tahun ini begitu sengit kerana kebanyakan pasukan membariskan pelumba yang hebat," katanya.

Dalam acara pecut, pemenang jersi biru 2011 dan 2012 Guardini merampas jersi itu daripada pelumba China Wang Meiyin yang mewakili Hengxiang Cycling Team.

"Hari ini, saya memenangi jersi itu dan ia memberi keyakinan kepada saya untuk berlumba dengan lebih baik," kata Guardini.

Sementara itu, Wang berjaya mempertahankan jersi kuning (pelumba terbaik keseluruhan), jersi merah (raja bukit) dan jersi putih (pelumba terbaik asia keseluruhan).

Esok, kesemua 132 pelumba akan menghadapi laluan getir ke Genting Highlands bagi peringkat lima sejauh 110.3km dari Proton, Shah Alam ke pusat peranginan itu.

Peringkat ini mempunyai pendakian kategori 4 di Bukit Cerakah dan tiga zon pecutan di Coalfields, Paya Jaras dan Gombak sebelum tiba di peringkat pendakian Kelas Hors ke Genting Highlands. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan