Hoki Wanita: Malaysia Tewas Pusingan Kedua Kepada India

Diterbitkan: Rabu, 20 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita kebangsaan mengalami kekalahan pertama mereka dalam pusingan kedua Hoki Liga Dunia Wanita selepas kalah 0-3 kepada India pada pertemuan kedua kejohanan itu, yang berlangsung di Stadium Nasional Major Dhyan Chand, New Delhi.

Vandana Katariya meletakkan pasukan bimbingan Neil Hawgood sebagai pendahulu seawal minit kesembilan menerusi pukulan sudut penalti, menurut laporan laman web www.fih.cn.

Katariya memperoleh gol keduanya dalam perlawanan itu selepas jaringannya membolosi gawang Malaysia pada minit ke-38 sebelum rakan sepasukan, Rani Ritu, menyumbang gol ketiga pada minit ke-65 menerusi gol padang.

Kemenangan itu menyaksikan India menduduki tempat kedua, berkongsi enam mata dengan pendahulu Jepun tetapi dijarak dengan perbezaan gol.

Sebaliknya, skuad negara anak didik bekas penjaga gol kebangsaan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim di tempat keempat dengan tiga mata.

Terdahulu, Jepun meraih kemenangan kedua terbesar mereka dalam kejohanan itu selepas membelasah Kazakhstan 11-0 manakala Rusia, yang kalah kepada pasukan Malaysia dalam perlawanan pembukaan semalam, bangkit semula dengan membenam Fiji 9-0.

Anak buah Mohd Nasihin Nubli akan bertemu Kazakhstan dalam perlawanan ketiga mereka pada Khamis.

Dua pasukan teratas liga ini secara automatik layak ke separuh akhir, yang dijadual berlangsung pada Jun, dan venuenya masih belum ditetapkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan