Tiga Anugerah Khusus Untuk Pelumba Malaysia Di LTDL 2013

Diterbitkan: Jumaat, 15 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Mohid Mohamed (empat kanan), menerima tajaan dari Ketua Pegawai Pemasaran Telekom Malaysia Datuk Rozalila Abdul Rahman (tiga kiri) pada majlis pelancaran Tambahan Ganjaran bagi pelumba di Malaysia tajaan Telekom Malaysia di Pusat Akuatik, Kompleks Sukan Nasional Bukit Jalil. Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Le Tour De Langkawi, Emir Abdul Jalal (tiga kiri). Foto BERNAMA
Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Mohid Mohamed (empat kanan), menerima tajaan dari Ketua Pegawai Pemasaran Telekom Malaysia Datuk Rozalila Abdul Rahman (tiga kiri) pada majlis pelancaran Tambahan Ganjaran bagi pelumba di Malaysia tajaan Telekom Malaysia di Pusat Akuatik, Kompleks Sukan Nasional Bukit Jalil. Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Le Tour De Langkawi, Emir Abdul Jalal (tiga kiri). Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Syarikat telekomunikasi, Telekom Malaysia Bhd (TM), menyediakan tiga anugerah khusus untuk pelumba-pelumba Malaysia yang menyertai perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) kali ini.

Tiga anugerah yang julung kali diperkenalkan TM itu ialah pelumba terbaik keseluruhan, Raja Pecut dan Raja Bukit.

Pelumba Malaysia terbaik keseluruhan akan menerima RM5,000 beserta trofi, manakala Raja Pecut dan Raja Bukit pula masing-masing akan menerima RM2,500 dan plak.

"Kami berharap ia bukan sahaja dapat menaikkan semangat pelumba tempatan tetapi turut mencetuskan persaingan yang sihat," kata Ketua Pegawai Pemasaran TM, Datuk Rozalila Abdul Rahman pada sidang akhbar selepas menyerahkan penajaan TM kepada penganjur di Ibu pejabat LTdL, Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil di sini, Jumaat.

TM sekali lagi tampil selaku Rakan Telekomunikasi Rasmi LTdL yang membekalkan kemudahan telekomunikasi seperti telefon talian tetap, faksimile, Internet berwayar dan tanpa wayar sepanjang perlumbaan berlangsung.

Rozalila berkata, anugerah itu mungkin akan dijadikan anugerah tahunan kepada pelumba-pelumba Malaysia pada edisi yang akan datang.

"Selepas tamat LTdL 2013 ini, kami akan buat kajian semula mengenai anugerah ini, sama ada akan diteruskan pada edisi akan datang. Kami juga akan melihat sama ada untuk menyediakan hadiah seumpamanya kepada pelumba Malaysia untuk setiap peringkat perlumbaan," katanya.

Untuk edisi ke-18 LTdL yang akan berlangsung pada 21 Februari hingga 2 Mac ini, selain masing-masing enam pelumba tempatan dalam pasukan kebangsaan dan Terengganu Cycling Team (TSG) yang menyertainya, terdapat empat lagi pelumba yang mewakili pasukan profesional benua dan benua.

Mereka ialah Anuar Manan (Synergy-Baku Cycling Project), Adiq Husainie Othman (Champion System Pro Cycling Team), Ng Yong Li (RTS Racing Team) dan Loh Sea Keong daripada pasukan OCBC Singapore Continental Cycling Team.

Sementara itu Ahmad Haidar Anuawar yang sebelum ini dilaporkan akan mewakili OCBC Singapore Continental Cycling Team terpaksa digugurkan akibat kecederaan.

Sebanyak 22 pasukan akan berentap dalam perlumbaan 10 peringkat dengan jarak 1,469.7km bermula dengan peringkat pertama dari Kangar, Perlis ke Kulim, Kedah sejauh 162.7km. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan