MOM Perlu Tegas Agar Sukan Sea Myanmar Tidak Menjadi Medan Lahirkan Atlet Bermusim - MSN

Diterbitkan: Rabu, 23 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) berharap Majlis Olimpik Malaysia (MOM) lebih tegas berbincang dengan negara tuan rumah bagi menetapkan acara sukan yang bakal dipertandingkan pada temasya Sukan SEA Myanmar hujung tahun ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Zolkples Embong berkata sebagai badan induk pentadbir utama sukan di negara ini MOM perlu peka dan lebih perihatin dalam soal hala tuju sukan negara dan bukan setakat melahirkan atlet bermusim untuk peringkat sukan SEA semata-mata.

"Dalam hal ini saya tidak menyalahkan negara penganjur tapi kita perlu lebih tegas dalam hal ini bagi memastikan bahawa Sukan SEA selaras dengan hala tuju sukan negara," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Zolkples berkata beliau sering mengingatkan rakan-rakan di MOM bahawa temasya sukan dwi-tahunan itu adalah medan pendedahan yang paling rendah bagi atlet-atlet baru sebelum mereka bersedia untuk mewakili negara ke kejohanan yang lebih tinggi.

"Oleh kerana itu pemilihan acara sukan pada peringkat Sukan SEA perlulah sejajar dengan acara sukan yang dipertandingkan di peringkat kejohanan yang lebih tinggi seperti di peringkat Asia mahupun Olimpik agar ianya dapat membantu negara peserta lain melaksanakan program pembangunan dengan berkesan," katanya.

Zolkples berkata MSN tidak ada halangan untuk membenarkan atlet elit mengambil bahagian di kejohanan sukan SEA dengan syarat ia tidak menjejaskan persiapan mereka menghadapi kejohanan yang lebih besar.

"Jika jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei ingin bertanding sekalipun, kita di MSN tidak akan menghalang beliau untuk berbuat demikian sekiranya mendapat persetujuan dari jurulatih dan persatuan sukan," katanya.

Beliau berkata secara peribadi Sukan SEA lebih sesuai untuk atlet baru bagi memberi pendedahan kepada atlet terbabit kerana banyak perkara baru bakal dipelajari oleh mereka nanti.

"Namun pada masa sama kita tidak ingin menghantar kontinjen yang pulang dengan tangan kosong...oleh yang demikian kita perlu menghantar atlet yang berpotensi mendapat pingat ke temasya dwi-tahunan itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zolkples berkata pihaknya telah berhubung dengan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia bagi membantu pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang bagi mendapat visa untuk kembali ke Melbourne bagi menjalani latihan bersama rakan-rakan di sana.

Sebelum ini, pelumba yang berasal dari Dungun, Terengganu itu meluahkan rasa kecewa apabila gagal mendapat visa dari kerajaan Australia untuk kembali meneruskan latihan di sana apabila pulang ke tanah air bagi menyambut kelahiran anak pertamanya di sini.

Zolkples berkata beliau telah menghubungi Azizulhasni dan berjanji perkara tersebut akan segera diatasi namun pelumba yang terkenal dengan gelaran The Pocketrocketman belum pasti ingin membawa isterinya Athiah Ilyana Abd Samat serta anaknya berusia tiga bulan, Amna Maryam. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan