Atlet Tiada Alasan Jadikan Perkahwinan Penghalang Untuk Berjaya - Shabery - Sukan Ekstra | mStar

Atlet Tiada Alasan Jadikan Perkahwinan Penghalang Untuk Berjaya - Shabery

Diterbitkan: Selasa, 22 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menggesa atlet negara supaya tidak menjadikan faktor perkahwinan sebagai penghalang untuk mencipta kejayaan.

Sebaliknya, beliau berkata, seseorang atlet itu perlu menjadikan perkahwinan sebagai pendorong untuk berada pada prestasi terbaik dalam bidang sukan masing-masing.

Beliau berkata, jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat adalah dua contoh atlet negara yang menunjukkan prestasi membanggakan biarpun telah berumahtangga.

"(Misalnya) Status berkahwin bukan satu alasan yang menyatakan Chong Wei boleh hilang kemampuan dalam pertandingan. Melihat prestasinya pada kejohanan Terbuka Malaysia dan Terbuka Korea, Chong Wei ada kelebihan tersendiri.

"Sekarang tiada alasan buat para atlet yang meletakkan perkahwinan sebagai penghalang malah (perkahwinan) menjadi penyumbang semangat kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan 100Plus, di sini Isnin.

Chong Wei memahat sejarah dengan merangkul kejuaraan kesembilan dalam Siri Super Terbuka Malaysia yang berakhir pada Ahad, selepas menumpaskan pemain Indonesia, Sony Dwi Kuncoro 21-7, 21-8 pada perlawanan akhir.

Pada awal bulan ini, pemain nombor satu dunia itu memenangi kejohanan badminton Terbuka Korea selepas mengalahkan pemain China, Du Pengyu 21-12, 21-15 pada perlawanan akhir di Seoul.

Sementara itu, menerusi penajaan untuk tiga tahun lagi sehingga 2015, 100Plus sebagai minuman isotonik nombor satu di Malaysia dengan kandungan penghidratan yang telah dibuktikan, akan terus dicadangkan menjadi minuman pilihan MSN (Majlis Sukan Negara).

Selain tajaan tunai, 100Plus juga menyediakan produk bagi pelbagai aktiviti dan program MSN melibatkan atlet negara.

100Plus juga terus menyokong program pembangunan sukan remaja seperti liga bola sepak Kementerian Pelajaran, Piala Super 100Plus Bawah-18, Sirkit Badminton Remaja Kebangsaan 100Plus dan Terbuka Golf Remaja Malaysia 100Plus.

100Plus juga merupakan penyokong kuat atlet Malaysia dan ketika ini menjadikan dua pemenang pingat Olimpik, Chong Wei dan Pandelela Rinong serta tiga pemain bola sepak negara, Safee Sali, Khairul Fahmi dan Safiq Rahim sebagai Duta 100Plus. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan