KBS Akur Tindakan Ramdan Tinggalkan BAM -Ahmad Shabery

Diterbitkan: Ahad, 13 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KEMAMAN: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akur dengan keputusan Misbun Ramdan Misbun yang nekad keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Isnin lalu dan menghormati keputusan pemain muda itu.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pihaknya menerima keputusan itu dan akur dengan kemahuan Misbun Ramdan yang ingin mendapatkan bimbingan daripada ayahnya, Misbun Sidek di Kelab Nusa Mahsuri.

"Misbun sudah membentuk sistem yang berbeza dari apa yang dikendalikan BAM kemungkinan dapat membuahkan sesuatu yang baik ataupun tidak, kurang baik atau seimbang dengan apa yang dibuat BAM...jadi bagi kita perlukan banyak lagi akademi-akademi badminton yang akhirnya akan membuahkan lagi banyak nama-nama baharu.

"Kalau Misbun boleh lahirkan Chong Wei, maka kali ini adalah cabaran baharu bagi Misbun untuk lahirkan Chong Wei lain sama ada anak beliau atau orang lain melalui Nusa Mahsuri," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai tindakan Ramdan yang keluar dari BAM selepas seminggu melakar sejarah memenangi Grand Prix (GP) Final Kebangsaan di Alor Setar.

Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman sebelum itu menyampaikan sumbangan kepada 114 mangsa banjir di Kampung Kuala Tayor di sini Sabtu.

Ramdan berbuat keputusan demikian kerana mahu mendapat bimbingan daripada Misbun di kelab Nusa Mahsuri, lebih-lebih lagi bapanya itu terbukti berjaya melahirkan pemain bertaraf dunia seperti Datuk Lee Chong Wei.

Sepanjang menjadi jurulatih, Misbun turut berjaya memimpin adiknya Rashid memenangi pingat perak Olimpik Atlanta, menaikkan nama adik beradik Roslin dan Hafiz Hashim, membimbing Wong Choong Hann memenangi perak Kejohanan Dunia 2003 serta perak dalam Olimpik Beijing.

Mengulas mengenai Malaysian Open pada 15 hingga 20 Jan depan, Ahmad Shabery yakin Lee Chong Wei akan mempertahankan kejuaraannya dan berharap penyokong dari seluruh negara dapat memberi sokongan kepada pemain nombor satu negara itu.

"Walaupun Chong Wei baru berkahwin, ia tidak menjadi halangan kepada beliau untuk mengungguli kejuaraan tersebut dan seterusnya beliau akan menjadi sumber inspirasi kepada banyak lagi pemain lain," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan