Atlet Disaran Elak Kahwin Awal Jika Pilih Kerjaya Sukan

Diterbitkan: Khamis, 3 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Atlet di negara ini disaran mengelak berkahwin awal jika ingin benar-benar berjaya dalam disiplin sukan yang diceburi mereka.

Pengkritik sukan negara, Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim berkata ini kerana faktor komitmen mungkin menyumbang kepada senario kemerosotan prestasi atlet selepas mereka berkahwin.

Selepas berkahwin, mereka mungkin memberi komitmen yang lebih kepada tanggungjawab baharu mereka, katanya kepada Bernama.

"Jika ingin benar-benar berjaya dalam sukan, saya nasihatkan adalah lebih baik atlet-atlet pada masa kini untuk mengelakkan diri daripada berkahwin awal kerana ramai atlet dulu sanggup mengenepikan soal perkahwinan sebelum berjaya sehinggakan ada atlet sanggup berkahwin pada usia lewat 40-an," katanya lagi.

Pada masa yang sama beliau turut menasihati atlet yang telah berkahwin agar bijak membahagikan masa antara keluarga dan karier bagi memastikan berjaya dalam kedua-dua perkara.

Bagaimanapun Penasihat khas kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Dr Ramlan Aziz pula berpendapat perkahwinan bukan faktor penyebab kemerosotan prestasi seseorang atlet.

Dalam pada itu, Ramlan yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN), tidak menolak perkahwinan sedikit sebanyak mempengaruhi prestasi atlet pada peringkat awal perkahwinan.

"Sepanjang pemerhatian saya (sewaktu bekerja)di Institut Sukan Negara (ISN) sebelum ini (sebelum ini), saya mendapati bahawa perkahwinan tidak akan menjejaskan prestasi atlet secara total sebaliknya terpulang kepada diri atlet itu sendiri untuk berusaha mencapai matlamat yang telah ditetapkan sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Kaunselor Perkahwinan Berdaftar, Dr Ramlan Hamzah berkata atlet sepatutnya menjadikan perkahwinan sebagai motivasi untuk lebih berjaya dan bukannya sebagai penghalang dalam mengejar cita-cita.

"Kesefahaman dan penerimaan pasangan amat penting dalam memastikan bahawa prestasi atlet tidak terjejas walaupun mereka telah bergelar suami atau isteri. Suami atau isteri yang memahami kerjaya pasangan mereka akan memberi motivasi untuk pasanganya," katanya.

Ramlan berkata pada peringkat awal perkahwinan kemungkinan prestasi atlet akan sedikit terjejas namun hanya bersifat sementara sehingga atlet tersebut mampu mengimbangi pembahagian masa antara keluarga dan juga kerjaya sebagai atlet negara.

"Kita tidak boleh menyekat atlet daripada berkahwin kerana ianya adalah keperluan hidup bagi setiap manusia,"katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan