Mohd Fauzan, Nor Azian Ungguli Kejohanan Basikal GP Kebangsaan

Diterbitkan: Sabtu, 29 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Pelumba berpengalaman negara, Mohd Fauzan Ahmad Lutfi muncul juara bagi acara lepas beramai-ramai lelaki elit pada Kejohanan Lumba Basikal Grand Prix Kebangsaan sejauh 228 kilometer di Bukit Katil di sini, Sabtu.

Mohd Fauzan, 26, yang menyarung jersi Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengalahkan pelumba Kuala Lumpur, Ahmad Fallanie Ali di tangga kedua setelah masing-masing menamatkan perlumbaan dengan catatan masa yang sama 5 jam 48 minit 18 saat dengan purata kelajuan 40.99 kmj.

Tiga lagi pelumba negara, Muhammad Rauf Nur Misbah, Mohd Ekbar Zamanhuri dan Mohd Saiful Anuar Aziz, masing-masing menduduki tangga ketiga, keempat dan kelima setelah menamatkan 15 pusingan dengan ketinggalan 21 saat dari pemenang.

"Saya gembira memenangi kejohanan penutup tirai ini dan berharap kemenangan ini sebagai pemangkin untuk prestasi yang lebih baik pada kejohanan tahun depan," kata Mohd Fauzan kepada pemberita.

Mohd Fauzan adalah pelumba terbaik skuad kebangsaan pada Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun ini menduduki tangga ke-36 keseluruhan.

Pelumba Terengganu Cycling Team (TGS) Mohd Saiful selaku pemenang kelima pada Sabtu mencuri tumpuan apabila muncul juara keseluruhan GP Kebangsaan setelah mengutip 45 mata keseluruhan menewaskan Muhamad Rauf dari pasukan Malaysia Selangor yang memperoleh 36 mata dan pelumba Angkatan Tentera, Mohd Shahrul Afiza Fauizan yang memungut 30 mata.

Mohd Saiful mengungguli sirkit ketiga di Kuching, Sarawak serta muncul naib johan pada sirkit kedua di Kelantan merangkul hadiah wang tunai RM3,000 selaku juara keseluruhan.

Bagi acara lepas beramai-ramai wanita, Noor Azian Alias muncul pemenang mengalahkan Masziyaton Mohd Radzi dan Mariana Mohamad.

Ketiga-tiga pelumba menamatkan kayuhan sejauh sembilan pusingan sejauh 136.8 kilometer dengan catatan masa yang sama - 4 jam 4 minit 51 saat dengan purata kelajuan 33.52 kmj.

Pelumba negara yang mewakili Kedah, Masziyaton bagaimanapun muncul juara keseluruhan apabila memungut 68 mata keseluruhan, Nurul Syuhada Zainal dari Terengganu di tempat kedua memperolehi 51 mata dan Noor Azian dari Johor di tempat ketiga memperolehi 50 mata.

Masziyaton yang mengukir nama sebagai jaguh acara basikal bukit muncul juara GP keseluruhan untuk tahun kedua berturut-turut merangkul hadiah kemenangan wang tunai RM2,000.

"Tumpuan utama saya ialah pada Kejohanan Lumba Basikal Asia 2013 di New Delhi, India pada Mac depan" katanya yang merangkul kejuaraan bagi acara kriterium di Bandung, Indonesia tahun ini.

Kejohanan GP Kebangsaan di Melaka ialah sirkit kelima sebagai penutup tirai setelah empat GP sebelumnya di Kedah, Kelantan, Sarawak dan Perak. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Kolumnis

iklan

Iklan