Pejabat Pesuruhjaya Sukan Persoal Tindakan PABM

Diterbitkan: Jumaat, 21 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) pada Khamis mempersoal tindakan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) yang masih belum menetapkan tarikh Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk sukan itu.

Pesuruhjaya Sukan Datuk Mohd Yassin Mohd Salleh berkata PABM melalui mesyuarat exco mereka pada Rabu, sepatutnya telah menetapkan tarikh AGM tersebut.

"Kami tidak boleh campur tangan dalam menetapkan tarikh untuk persatuan tersebut mengadakan AGM," katanya.

Selepas mesyuarat exco badan induk sukan itu pada Rabu, Presiden PABM Zafarul Akhbar Kassim memberi bayangan dua tarikh berbeza sudah dicadangkan namun ia perlu mendapat pandangan dan kelulusan daripada PPS terlebih dahulu.

Zafarul berkata pihaknya akan menghantar surat rasmi mengenai tarikh cadangan AGM itu kepada PPS dalam tempoh terdekat.

Sebelum ini, PPS mengarahkan PABM untuk mengadakan AGM mereka sebelum 31 Disember ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yassin turut mempersoal sama ada PABM mempunyai masa mencukupi untuk memaklumkan kepada anggota exco mereka bagi menghadiri AGM tersebut.

"AGM badan induk itu sepatutnya diadakan sebelum 31 Disember ini tetapi mereka sudah kesuntukan masa untuk meneruskan mesyuarat berkenaan sebelum waktu yang ditetapkan," katanya.

Pada masa sama, beliau turut mempertikai sama ada mesyuarat exco PABM yang diadakan semalam adalah mengikut perlembagaan badan induk sukan itu atau sebaliknya.

Mohd Yassin berkata beliau mendapat maklumat daripada beberapa anggota exco PABM bahawa mereka tidak dipanggil untuk menghadiri mesyuarat berkenaan.

"Adakah persatuan menghantar surat panggilan mesyuarat melalui sistem pesanan ringkas (SMS) atau maklum melalui media? Mereka sepatutnya dipanggil melalui surat panggilan rasmi seminggu lebih awal," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan