MSN Gantung Sementara Tugas Ishtiaq Mubarak Selaku Jurulatih

Diterbitkan: Jumaat, 21 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) mengambil tindakan drastik menggantung sementara tugas Ishtiaq Mubarak selaku jurulatih atlet pelapis olahraga kebangsaan, berkuat kuasa pada Khamis selepas beliau mengaku bersalah atas tuduhan memiliki dadah.

Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong berkata pihaknya akan mengeluarkan surat penggantungan kepada bekas pelari 110 meter lompat berpagar kebangsaan itu dalam tempoh terdekat bagi memastikan imej sukan negara tidak tercemar dengan isu dadah.

"Saya terkejut dan dukacita apabila mengetahui perkara ini kerana beliau merupakan satu nama besar dalam sukan olahraga tanah air.

"Beliau telah berkhidmat dengan MSN sejak Januari 2002 dan selama ini, beliau tidak pernah menimbulkan masalah, sebaliknya menjalankan tugas dengan baik," kata Zolkples ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini Khamis.

Ishtiaq atau nama sebenarnya Ishtiaq Ahmad Mubarak Ahmad, 64, yang pernah mengharumkan sukan olahraga negara pada era 70-an, mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki dadah di Mahkamah Majistret di Langkawi, Rabu.

Beliau didakwa memiliki 37.9 gram kanabis di Akademi Pelayaran Malaysia, Jalan Padang Mat Sirat, Kuah, Langkawi, kira-kira 1 pagi, Ahad lepas.

Ishtiaq didakwa mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan lima kali sebatan sekiranya didapati bersalah.

Ishtiaq yang tidak diwakili peguam, turut dituduh mengikut Seksyen 6 akta sama kerana memiliki 5.53 gram kanabis pada tarikh, masa dan lokasi sama.

Majistret menetapkan 17 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes, sementara menunggu laporan kimia ke atas dadah yang ditemui.

Mengulas lanjut, Zolkples berkata pihaknya akan menunggu keputusan mahkamah sebelum mengambil tindakan lanjut.

Beliau berkata MSN boleh menamatkan kontrak Ishtiaq yang bakal berakhir 31 Dis ini jika pemenang pingat gangsa Sukan Asia 1966 itu didapati bersalah.

"Biasanya kita memperbaharui kontrak (mana-mana) jurulatih setiap dua tahun, namun kita mempunyai peruntukan (kuasa) untuk menamatkan kontrak jurulatih berdasarkan persetujuan bersama.

"Kita akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa kerja dengan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) pada awal Januari dan tentunya perkara ini turut akan dibincangkan," kata Zolkples.

Beliau berkata pihaknya bersedia menjalankan ujian doping secara rambang ke atas mana-mana jurulatih yang disyaki terlibat dengan dadah bagi memastikan insiden sama tidak berulang.

Skuad pelapis dan serantau olahraga kebangsaan berada di Langkawi sejak 1 Disember lepas bagi menjalani latihan pemulihan prestasi yang dijangka berakhir Ahad ini.

Agensi Anti-Doping Dunia sebelum ini menggantung seorang daripada kuartet 4x400m kebangsaan, Mohd Yunus Lasalleh selepas beliau didapati bersalah mengambil bahan terlarang pada Sukan SEA Indonesia 2011. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan