Sukan Terjun: Huang Qiang Perbaharui Kontrak

Diterbitkan: Khamis, 20 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penolong jurulatih acara terjun kebangsaan Huang Qiang, yang kontraknya tamat 31 Disember ini, menandatangani kontrak dua tahun lagi dengan Majlis Sukan Negara (MSN) pada Khamis.

Setiausaha kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) Edwin Chong berkata Huang bersetuju memperbaharui kontraknya dan kenaikan gaji yang ditawarkan MSN.

"MSN gembira Huang menandatangani kontrak baharu. Beliau menjalankan tugas dengan baik dalam membimbing pasukan terjun kebangsaan, hingga Malaysia mendapat perhatian dunia," katanya.

Bagaimanapun, apabila dihubungi, Huang, 30, bekas juara dunia, enggan mengulas tentang perlanjutan kontraknya itu.

Huang, yang diambil sebagai penolong jurulatih oleh MSN pada 2007, mendapat taraf warganegara Malaysia tahun lepas dan mewakili negara ini pada Olimpik London 2012.

Menurut laporan, Huang tidak berpuas hati dengan kadar kenaikan gaji yang ditawarkan kepadanya dan berhenti daripada berlatih apabila MSN memintanya membuat pilihan sama ada ingin kekal sebagai penolong jurulatih atau menjadi atlet sepenuh masa. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan