Yi Ting Pecah Dua Rekod Kejohanan AUG

Diterbitkan: Isnin, 17 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

VIENTIANE: Atlet renang kebangsaan Siow Yi Ting membuat kejutan dengan memecah dua rekod kejohanan Sukan Universiti Asean (AUG) 2012 di Pusat Akuatik Kompleks Sukan Nasional dekat sini.

Siow meraih pingat emas selepas mencatat 1 minit 11.89 saat bagi acara 100 meter kuak dada wanita, memecahkan rekod 1:17.53s pada edisi 2010 di Chiang Mai, Thailand.

Perenang berpengalaman itu menewaskan Margareta Kretapradani dari Indonesia yang meraih perak dengan masa 1:14.56s manakala gangsa milik Chontida Onmim dari Thailand dengan 1:17.83s.

Selain itu, Siow memecah rekod kejohanan bagi acara 400 meter rampaian wanita dengan catatan 4:57.30s untuk menewaskan Ressa Kania Dewi dari Indonesia yang meraih pingat perak (5:06.17s) dan pemenang gangsa Claire Adorna dari Filipina (5:16.42s).

Siow memecah rekod yang dicatat pada AUG edisi 2010, 5:22.17s. Selain Siow, Khoo Cai Lin menggegar kolam renang yang membuka tirainya hari ini apabila merangkul emas serta memecah rekod kejohanan bagi acara 200 meter kupu-kupu dengan masa 2:17.43s. Rekod terdahulu ialah 2:28.15s.

Khoo menewaskan rakan senegara Hii Siew Siew yang merangkul perak dengan 2:19.64s manakala gangsa dikutip Kathriana Mella Gustianjani dari Indonesia dengan masa 2:27.59s.

Khoo turut menyumbang satu pingat emas dalam acara 1500 meter gaya bebas wanita dengan masa 18:09.20s menewaskan Chawiwan Khammee dari Thailand (18:26.23s). Gangsa dipungut Claudia Ajeng dari Indonesia (18:53.00s).

Selain Siow dan Khoo, atlet renang kebangsaan lain Chan Kah Yan dan Kevin Yeap menyumbang pingat emas, masing-masing dalam acara 50 meter kuak lentang wanita dan 1500 meter gaya bebas lelaki.

Selain enam pingat emas itu, skuad renang meraih tiga perak dalam acara 200 meter kupu-kupu wanita (Hii Siew Siew), 100 meter gaya bebas wanita (Chui Lai Kwan) dan 100 meter gaya bebas lelaki (Daniel Wiliam Hendry Bego) serta sebutir gangsa dalam acara 100 meter gaya bebas lelaki (James Chen). -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan