Adi Alifuddin Cipta Hatrik Sumbang Lima Lagi Emas di AUG

Diterbitkan: Isnin, 17 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

VIENTIANE: Atlet kebangsaan Adi Alifuddin Hussin melakar sejarah dengan meraih emas dalam acara lontar peluru pada tiga edisi Sukan Universiti Asean (AUG) berturut-turut, dengan edisi 2012 kini berlangsung di Laos.

Adi Alifuddin, 24, memenangi pingat emas pertama pada AUG edisi 2008 di Kuala Lumpur dan kedua pada edisi 2010 di Chiangmai, Thailand.

Beliau memperkukuh statusnya sebagai juara bertahan apabila melakukan lontaran sejauh 16.24m menewaskan pencabarnya, Promros Juntima dari Thailand yang merangkul perak dengan catatan 15.77m di Stadium Kompleks Sukan Nasional dekat sini.

Pingat gangsa menjadi milik Permana Krisna Wahyu dari Indonesia dengan lontaran 14.87m. "Saya gembira kerana berjaya menyumbangkan pingat emas buat kali ketiga berturut-turut buat kontinjen. Namun, saya masih tidak berpuas hati dengan catatan lontaran hari ini.

"Sasaran saya sebenarnya ialah untuk melepasi had kelayakan ke Sukan SEA 2013 iaitu 17.53m," kata Adi Alifuddin, pemenang pingat perak Sukan SEA 2011 di Palembang, Indonesia kepada pemberita pada Ahad. "Ketika sesi percubaan, saya melakukan lontaran 17m tapi apabila memasuki aksi sebenar, saya gagal melepasi sasaran. Ia mungkin disebabkan saya terlalu yakin dan ini menjadi pengajaran buat saya," tambahnya.

Menurut Adi Alifuddin, dia berkemungkinan besar menjalani latihan di Jerman selama enam bulan mulai April depan sebagai persiapan untuk melayakkan diri ke Sukan SEA 2013.

Selain Adi Aliffudin, olahraga membolot empat lagi pingat emas menerusi atlet 100m lari berpagar wanita Raja Nursheena Raja Azhar, Mohammad Rohaizad Jamil (110m lari berpagar lelaki), Navin Raj Subramaniam (lompat tinggi) dan Ahmad Luth Hamizan (3,000m Berhalangan (Steeplechase) lelaki).

Selain pingat emas, skuad olahraga negara turut merangkul tiga perak melalui acara lempar cakera wanita, 800m wanita dan 800m lelaki, serta dua gangsa dalam acara 200m lelaki dan 200m wanita.

Pada aksi semalam, skuad olahraga meraih empat emas dan tiga perak. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan