Skuad Memanah Tidak Mahu Mendabik Dada

Diterbitkan: Rabu, 12 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

VIENTIANE: Skuad memanah kebangsaan tidak mahu mendabik dada meskipun mempunyai peluang cerah untuk meraih pingat emas pada temasya dwitahunan Sukan Universiti Asean (AUG) 2012 di sini.

Jurulatih Mohd Marbawi Sulaiman berkata dalam acara memanah, penentuan pasukan yang hebat adalah sangat subjektif kerana ia bergantung kepada prestasi pemain pada hari perlawanan.

"Sungguhpun kita menghantar satu pasukan yang kuat yang terdiri daripada atlet elit dan berpengalaman, namun kita tidak boleh pandang rendah dengan pasukan yang lain kerana memanah adalah acara yang subjektif. "Kita mensasarkan empat pingat emas iaitu dua bagi acara recurve lelaki dan dua acara compound wanita," katanya kepada pemberita sejurus tiba bersama pasukan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Vientiane, di sini, Rabu.

Skuad memanah akan memulakan saingan Sabtu ini di lapang sasar memanah, Kompleks Sukan Nasional, di sini.

Sementara itu, atlet elit kebangsaan Mohd Khalmizam berkata Thailand merupakan pasukan yang akan memberikan saingan sengit kerana pasukan tersebut turut menurunkan pemanah Olimpik pada kejohanan kali ini.

"Peluang memang ada, tetapi bukan mudah sebab Thailand turut menurunkan pemain mereka yang pernah bertanding di Sukan Olimpik. Singapura juga mempunyai pemanah yang bagus.

"Saya pernah bertanding di sini (Laos) iaitu ketika Laos menjadi tuan rumah Sukan SEA 2009, dengan pengalaman yang ada sedikit sebanyak membantu saya untuk beraksi nanti," kata Mohd Khalmizam yang akan mengambil bahagian dalam acara recurve lelaki.

Selain Mohd Khalmizam, atlet elit lain yang turut serta ialah Mohd Izzuddin Abdul Rahim (recurve) dan trio compound wanita Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Nor Hayati Al Madihah Hashim dan Fatin Nadira Hassin. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan