Malaysia Kejutkan Korea Selatan, Raih Kemenangan Kedua

Diterbitkan: Isnin, 26 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Skuad hoki kebangsaan mengekalkan rentak kemenangan pada Cabaran Juara-juara 1 Hoki Lelaki di Quilmes, Argentina apabila mengalahkan pasukan nombor tujuh dunia Korea Selatan 4-2 pada perlawanan kedua mereka bagi Kumpulan A pada Ahad.

Pasukan bimbingan Paul Revington itu mencatat kemenangan pertama dengan membelasah Poland 4-0 pada perlawanan pembukaan sehari sebelumnya.

Dalam perlawanan yang disifatkan sebagai pertempuran antara wakil Asia pada kejohanan itu, Korea Selatan memperoleh jaringan awal melalui pakar pukulan sudut mereka, Jang Jong Hyun pada minit kelapan, sebelum Malaysia mendapat gol penyama pada minit ke-18 melalui pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd Rahim.

Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil melonjakkan semangat Malaysia apabila menjaringkan dua gol pantas pada minit ke-30 dan ke-31, manakala pemain penuh berpengalaman Chua Boon Huat pula mendapatkan gol keempat pada minit ke-48, yang meletakkan pasukannya pada kedudukan kukuh untuk mara ke perlawanan separuh akhir.

Korea Selatan, yang dibimbing jurulatih Shin Seok Kyo, merapatkan jurang jaringan apabila mendapat gol kedua melalui JangJong Hyun.

Mengulas prestasi mereka ketika menentang Korea Selatan, Tengku Ahmad Tajuddin berkata Malaysia bermain dengan baik hampir di sepanjang perlawanan itu, kecuali terpaksa berhempas-pulas sedikit menjelang berakhirnya perlawanan.

"Keputusannya satu hal lain, tapi kami tidak berpuas hati dengan prestasi kami. Banyak perkara yang perlu diperbaiki untuk menghadapi perlawanan seterusnya," kata pemain ini seperti yang dipetik dalam laman web kejohanan itu, www.fih.ch.

Bagi Revington pula, beliau gembira dengan kemenangan itu dan berharap anak buahnya akan mengekalkan momentum kemenangan sepanjang kejohanan ini, terutama apabila menentang Kanada pada Selasa.

"Mungkin para pemain berasa kecewa dalam tempoh 10 minit terakhir perlawanan itu, tapi saya gembira dan bangga dengan prestasi mereka dalam dua perlawanan yang telah dilalui. Kami membuat penambahbaikan hari demi hari," katanya.

Kemenangan ini meletakkan Malaysia di tangga teratas Kumpulan A dengan enam mata, manakala Korea Selatan menduduki tangga kedua dengan tiga mata, diikuti Kanada dan Poland, yang masing-msing meraih satu mata setelah seri 3-3 dalam satu lagi perlawnan Kumulan A.

Dalam Kumpulan B pula, tuan rumah Argentina, yang merupakan juara dua kali, melakar kemenangan kedua mereka dengan menumpaskan Afrika Selatan 2-1, manakala Jepun mengalahkan Ireland, 3-0. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan