PABM Diarah Adakan AGM Sebelum Akhir Bulan Disember - Pesuruhjaya Sukan

Diterbitkan: Isnin, 12 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM)diberi tempoh sehingga akhir bulan depan bagi mengadakan mesyuarat agung tahunannya (AGM), kata Pesuruhjaya Sukan, Datuk Mohd Yassin Mohd Salleh.

Beliau berkata pihaknya telah menghantar surat kepada PABM bulan lepas dengan meminta badan induk itu itu mengadakan mesyuarat agungnya dalam tempoh terdekat.

"Kami masih menunggu surat balas daripada PABM untuk memberi tarikh AGM bagi membolehkan wakil kami memantau mesyuarat itu," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Pada Jumaat lepas, 14 ahli gabungan PABM yang diketuai Penolong Setiausaha Kehormatnya, Ahmad Janius Abdullah, telah menghantar surat desakan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (AGM).

PABM sepatutnya mengadakan AGM Mac lepas.

Mohd Yassin berkata mereka menerima surat desakan itu dan masih memberi peluang dan masa kepada PABM menyelesaikan perkara itu secara dalaman bagi memutuskan tarikh AGM. Ditanya pertukaran nama pasukan bola sepak Johor FC kepada Johor dan Johor kepada Johor FA, Mohd Yassin berkata perkara itu masih dalam perbincangan kerana status persatuan sukan negeri tidak boleh ditukar kepada kelab.

"Khamis lepas, kami terima surat daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).

"Bagaimanapun, perkara ini belum muktamad dan kami akan berhubung dengan PBNJ mengenai isu ini bagi mendengar sendiri daripada pihak mereka," katanya.

Untuk rekod, Kelab Sukan Perbadanan Johor atau Johor FC ialah sebuah kelab bola sepak berdaftar di bawah PBNJ yang kini di bawah pengurusan baharu, diketuai Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai presiden.

Tindakan PBNJ menukar nama Johor FC kepada Johor dilihat bertujuan bagi memberi laluan kepada pasukan itu untuk bersaing dalam Liga Super pada musim depan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan