Kelantan Idam Gelaran Hatrik Piala Agong

Diterbitkan: Isnin, 12 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kelantan bertekad untuk mempertahankan kejuaraan ragbi Piala Agong 2012 buat kali ketiga berturut-turut apabila saingan suku akhir kejohanan itu bermula esok.

Pengurus pasukannya, Mohammad Nik Elias percaya anak buahnya mampu melakar kejayaan kerana dibarisi hampir kesemua pemain yang beraksi pada kejohanan itu tahun lepas serta diperkuatkan dengan dua pemain import dari Fiji.

"Saya yakin pasukan Kelantan mampu berdepan tentangan daripada pasukan lain kerana kita dibarisi pemain yang hampir sama apabila menjuarai kejohanan itu tahun lepas," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis memperkenalkan Piala Agong 2012 yang baru di Muzium Majlis Olimpik Malaysia (MOM), di sini, Isnin.

Piala Agong yang lama akan diserahkan kepada MOM untuk dipamerkan di Muzium 'Hall of Fame' di Wisma MOM.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) Datuk Amiruddin Embi berkata langkah menggantikan Piala Agong yang lama itu bertujuan untuk penjenamaan semula kejohanan tersebut yang telah dipertandingkan sebanyak 29 kali.

"Kejohanan ini diperkenalkan sejak 1983 dan ia banyak mencorak perkembangan sukan ragbi negara dan saya mewakili KRM menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang berkenan dengan reka bentuk Piala Agong yang baru dan menyumbangkan piala berkenaan.

"Saya harap dengan adanya piala yang baru ini akan menyuntik semangat kepada lapan pasukan yang bersaing di suku akhir untuk mempamerkan aksi terbaik bagimenempa nama sebagai pasukan pertama membawa pulang piala baru ini," katanya.

Mengenai tindakan pasukan Pahang dan Sarawak menarik diri pada kejohanan itu, Amiruddin berkata KRM akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkara itu selepas Piala Agong 2012.

Lapan pasukan yang bersaing di suku akhir ialah Kelantan, Polis Diraja Malaysia, Kedah, Melaka, Sabah, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Selangor dan Negeri Sembilan.

Perlawanan akan diadakan di stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi.

Peringkat separuh akhir akan berlangsung pada 15 November ini manakala perlawanan akhir pada 18 November di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya di Kelana Jaya.

Tuanku Abdul Halim dijangka menyaksikan perlawanan akhir. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan