Tiada Istilah Rehat Buat Pandelela

Diterbitkan: Khamis, 8 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pendelela bergambar bersama Chevrolet Captiva yang disumbangkan oleh Naza Quest Sdn Bhd bagi kegunaan pasukan terjun negara. Foto:S.S.KANESAN/The Star
Pendelela bergambar bersama Chevrolet Captiva yang disumbangkan oleh Naza Quest Sdn Bhd bagi kegunaan pasukan terjun negara. Foto:S.S.KANESAN/The Star

KUALA LUMPUR: Ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg gigih meneruskan latihan insentif menjelang Sukan Universiti Asean (SUA) 2012 di Laos pada Disember ini biarpun masih menjalani pemulihan ke atas kecederaan lamanya.

Pandelela yang mencipta sejarah sukan tanah air apabila berjaya meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik London pada Jun lalu masih tetap menjalani latihan harian walaupun dalam masa yang sama dia juga sibuk dengan pengajiannya.

"Keadaan sudah berbeza kerana saya semakin sibuk dengan pelajaran, latihan dan sebab itulah saya rasakan kecederaan lama saya belum pulih sepenuhnya.

"Namun itu adalah kecederaan biasa dan saya sedang menjalani rawatan fisoterapi. Harap-harap dalam tempoh terdekat ini saya boleh pulih sepenuhnya," jelasnya selepas pasukan terjun negara menerima tajaan kereta Chevrolet Captiva daripada Naza Quest Sdn Bhd, Khamis.

Pandelela mengalami kecederaan buku lali kirinya yang turut menyaksikan dia terpaksa menarik diri pada Kejohanan Renang Asia yang akan bermula di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dari 15 hingga 25 November ini.

"Selepas ini saya bakal menyertai kejohanan SUA di Laos buat kali pertama. Saya tidak tahu bagaimana lawan di sana, tetapi yang penting saya akan melakukan persiapan seperti biasa,"jelas atlet kelahiran Sarawak ini.

Sementara itu Pandelela turut berterima kasih kepada pihak Naza kerana telah memberi sebuah kenderaan serba guna kepada pasukan terjun negara bagi kegunaan bersama.

"Naza telah menyumbang dua buah kenderaan, satu untuk pasukan terjun dan satu lagi untuk Majlis Sukan Negara (MSN).

"Sebelum ini Naza juga telah memberi sebuah Chevrolet kepada bapa saya dan hari ini kepada pasukan terjun pula. Saya sangat teruja," katanya.

Selain itu, Ketua Pegawai Operasi Naza Quest Sdn Bhd, Datuk Maruan Mohd Said berkata, sumbangan dua buah kenderaan pelbagai guna ini adalah sebagai sokongan pihak Naza kepada sukan negara.

"Kami telah lama terlibat menjadi dengan pelbagai jenis sukan termasuk basikal, sepak takraw dan bola sepak (Jelajah Chelsea 2011).

"Tajaaan kenderaan kepada pasukan terjun ini juga dianggap sebagai penghargaan pasukan itu yang telah mempamerkan aksi terbaik pada Sukan Olimpik baru-baru ini, yang mana Pandelela telah menyumbangkan pingat untuk negara.

"Dalam masa sama, tajaan ini juga boleh dianggap sebagai penyuntik semangat mereka untuk melakukan yang lebih baik lagi dalam persiapan ke Sukan Olimpik di Rio 2016," jelasnya kepada media.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan