Polisi Beri Kerakyatan Kepada Atlet Luar Tidak Digalak - Kok Chi

Diterbitkan: Rabu, 7 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak menggalakkan polisi pemberian taraf warganegara kepada atlet luar bagi mewakili negara dalam sebarang kejohanan tempatan mahupun antarabangsa.

Setiausaha Kehormat MOM Datuk Sieh Kok Chi berkata polisi tersebut tidak wajar dilaksanakan di negara ini bagi memastikan pembangunan sukan dan atlet kebangsaan sedia ada tidak terjejas.

"Memang mereka ini dari segi perkembangan dan kemahiran ada yang melebihi atlet tempatan, tetapi jika kita berfikir setakat menggunakan mereka hanya untuk mendapatkan pingat dalam sesuatu kejohanan, ia tidak memberi manfaat langsung kepada perkembangan sukan mahupun atlet negara.

"Bagi saya lebih elok jika kepakaran dan kemahiran atlet luar negara dikongsi dengan atlet negara seperti latihan bersama dan bukannya menyerap mereka menjadi atlet negara dan mengetepikan potensi atlet tempatan," katanya kepada ketika ditemui Bernama di Wisma MOM di sini Selasa.

Malaysia pernah memberi taraf kerakyatan kepada jaguh angkat berat kelahiran Indonesia iaitu Hidayat Hamidon; penembak Ukraine, Irina Maharani dan atlet dari China, Yuan Yufang bagi membolehkan mereka mewakili negara pada Sukan Komanwel 1998 yang negara menjadi tuan rumah.

Mengulas lanjut, Kok Chi berkata pemberian taraf kerakyatan kepada atlet luar hanya memberi keuntungan dalam jangka masa singkat terutama dari segi kutipan pingat pada sesuatu kejohanan.

"Kebanyakan atlet luar yang mendapat warganegara Malaysia, mereka ini bukannya muda dan tidak begitu banyak kejohanan yang boleh disertai seperti atlet terjun pada Sukan Olimpik lepas yang gagal membantu negara meraih sebarang pingat," katanya.

Huang Qiang atlet lelaki kelahiran China yang diberi kerakyatan dan merupakan satu-satunya atlet bukan kelahiran negara yang mewakili Malaysia pada Sukan Olimpik London 2012 gagal menyumbangkan pingat.

Beliau menyertai acara 3m papan anjal seirama bergandingan dengan Bryan Nickson Lomas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan