PGM Anjur 31 Kejohanan Golf Tahun Depan - Ahmad Sarji

Diterbitkan: Selasa, 6 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGM) akan menganjurkan 31 kejohanan golf tahun depan yang terdiri daripada 19 Kejohanan Jelajah PGM dan 12 Kejohanan Jelajah Satelit, khusus untuk pemain muda tempatan.

Pengerusi PGM Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata persatuan itu juga akan menganjurkan sembilan Kejohanan Jelajah Pembangunan Asia (ADT) yang menjadi laluan bagi pemain golf profesional Asia untuk menyertai kejohanan Jelajah Asia.

"Jumlah acara ADT yang kami rancang untuk anjur pada tahun depan agak banyak, berbanding sebelum ini, untuk memberi peluang kepada mereka menyertai Jelajah Asia dan mengumpul mata bagi ranking dunia.

"Saya akan umumkan maklumat terperinci tentang semua kejohanan golf yang akan kami anjurkan tahun depan di Glenmarie Golf and Country Club (di Shah Alam) pada 22 Nov," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan upacara penyerahan cek RM250,000 bagi kejohanan PGM-UMW Glenmarie Classic di sini, Selasa.

Presiden dan ketua pegawai eksekutif UMW Holdings Berhad Datuk Syed Hisham Syed Wazir menyampaikan cek berkenaan kepada pengurus besar PGM Mior Abdul Rahman Miou Mohd Khan.

Syarikat itu juga menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada pemain golf Peak Performance Academy PGM Mohd Hafiy Afiq Suhaili untuk membiayai penyertaannya dalam pelbagai kejohanan dan menjelaskan yuran akademi itu.

Kejohanan tiga hari itu akan bermula pada 19 Nov di Glenmarie Golf and Country Club.

Ditanya sama ada PGM akan mengkaji semula jumlah pemain daripada ADT yang layak menyertai Jelajah Asia, Ahmad Sarji berkata PGM akan membuat keputusan mengenainya dalam tempoh terdekat.

Kini, hanya tiga pemain teratas daripada ADT diberi tempat secara automatik untuk bermain dalam Jelajah Asia.

"Saya perlu berbincang tentang perkara ini dengan Jelajah Asia kerana ia terletak di luar bidang kuasa kami," kata Ahmad Sarji.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Sarji mengalu-alukan cadangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memasukkan acara golf ke dalam program pembangunan Olimpik 'Road to Rio 2016'.

Program itu adalah kesinambungan bagi Program 'Road to London' yang bermatlamat memenangi pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik.

"Saya berterima kasih kepada KBS kerana ia adalah satu inisiatif yang proaktif dan ia bertepatan dengan penganjuran Kejohanan Jelajah Satelit oleh kita yang dikhususkan untuk program 'Road to Rio'," katanya.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada Rabu lepas berkata 11 jenis sukan akan disenaraikan dalam program 'Road to Rio' iaitu akuatik, angkat berat, berbasikal, badminton, gimnastik, hoki lelaki, lawan pedang, memanah, menembak, olahraga dan sukan layar.

KBS juga bercadang menambah tiga lagi acara sukan ke dalam program berkenaan iaitu golf, ekuestrian dan tinju. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan