Karim Ibrahim Digantung Enam Tahun Oleh KOM

Diterbitkan: Jumaat, 12 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim digantung selama enam tahun oleh badan induk itu selepas didapati bersalah bersubahat dalam kes enam atlet melarikan diri daripada ujian anti-doping tahun lepas.

Penggantungan tersebut berkuatkuasa serta merta Khamis.

Presiden KOM Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata keputusan tersebut dicapai oleh ahli majlis KOM selepas meneliti laporan siasatan kes berkenaan yang dipengerusikan oleh bekas hakim mahkamah rayuan Tan Sri V.C George.

"Hukuman tersebut adalah berdasarkan perlembagaan KOM dan pihak sekretariat akan memaklumkan hukuman tersebut kepada Karim dalam masa terdekat ini.

"Ini bermakna beliau tidak boleh mengambil bahagian dalam sebarang aktiviti olahraga di peringkat kebangsaan serta negeri," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat ahli majlis KOM yang berlangsung hampir empat jam di sini, Khamis.

Pada 13 Februari lepas, jurulatih pecut negara, Hamberi Mahat yang mewakili 58 atlet dan jurulatih olahraga negara menghantar petisyen bertajuk 'Laporan dan Aduan Jurulatih dan Atlet Olahraga Kebangsaan kepada Presiden KOM'.

Petisyen setebal 11 muka surat itu yang ditandatangani kesemua 58 atlet dan jurulatih, antara lain meminta Karim disingkirkan daripada jawatannya selain memuatkan aduan dan keluhan jurulatih tempatan mengenai salah laku Karim.

Ditanya mengenai peluang Karim untuk membuat rayuan mengenai hukuman penggantungan tersebut, Zainal Abidin, yang juga Presiden Persatuan Olahraga Amatur Negeri Sembilan (POANS), berkata hukuman tersebut adalah muktamad.

"Saya tidak mahu memanjangkan kes ini kerana fokus kita ialah kepada atlet dan jurulatih olahraga negara itu sendiri.

"Kita harus memandang ke hadapan dan tidak perlulah untuk kita membahaskan mengenai kes ini dan bagi saya, segala masalah dalaman yang wujud KOM harus diselesaikan dengan segera agar fokus atlet dan jurulatih tidak terganggu," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Zainal Abidin turut mengumumkan beberapa muka baru yang akan mengisi beberapa jawatankuasa kecil dalam badan induk itu untuk sesi 2012-2014.

"Saya akan mengetuai jawatankuasa kejurulatihan dan pembangunan olahraga manakala timbalan saya, Datuk Wan Hisham Wan Salleh akan mengetuai jawatankuasa kewangan, pemilihan dan anugerah serta pemasaran dan penajaan," katanya.

Empat lain Naib Presiden KOM iaitu K. Yogeswaran akan mengetuai jawatankuasa pertandingan, Datuk Paiman Abdul Karim (disiplin), Datuk Mumtaz Begum Jaafar (hal ehwal wanita dan kebajikan) dan Datuk R. Annamalai (perubatan).

Setiausaha Kehormat POANS, S Chinethamby dilantik mengetuai jawatankuasa teknikal manakala Setiausaha Kehormat Persatuan Olahraga Amatur Kelantan, Tan Boon Seng dan Setiausaha Kehormat Persatuan Olahraga Amatur Wilayah Persekutuan S. Vegiyathuman masing-masing dilantik mengetuai jawatankuasa perangkaan dan jalan kaki. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan