Doktor Terbang M Jegathesan Yakin Dengan Pucuk Pimpinan Baharu KOM

Diterbitkan: Rabu, 10 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tan Sri Dr M Jegathesan (gambar) yakin dengan pucuk pimpinan baharu Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mampu memberi perubahan yang lebih baik untuk masa depan olahraga negara.

"Saya yakin setiap pemimpin dalam kesatuan mempunyai perancangan yang lebih baik kepada atlet negara.

"Apa yang lebih penting adalah masa depan sukan olahraga dan juga kepada atlet-atlet itu sendiri," katanya kepada mStar Online, Selasa.

Dr Jegathesan berkata, pencapaian atlet sekarang tidak boleh dibandingkan dengan persembahan pada zaman eranya.

"Banyak faktor yang berbeza, namun bagi saya kejayaan itu hanya boleh dicapai dengan kerja keras atlet itu sendiri. Perlu ada sikap positif dalam diri sendiri," tambahnya.

Dr Jegathesan, 69, merupakan seorang atlet olahraga yang berjaya pada zaman kegemilangannya pada tahun 1960-an dengan memegang rekod kebangsaan acara 200m sehingga kini dan mencatatkan kepantasan 20.93 saat dalam acara 200m pada Sukan Olimpik Mexico pada 1968.

Dengan jolokan 'Doktor Terbang', beliau merupakan penerima anugerah pertama Olahragawan Negara pada 1966 selepas mengutip tiga pingat emas pada Sukan Asia di Bangkok, pada tahun yang sama.

Selain itu, pucuk pimpinan baharu KOM telah bertukar tangan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-10 bulan lalu yang menyaksikan Datuk Seri Shahidan Kassim gagal mempertahankan jawatan presiden untuk penggal ketiga berturut-turut apabila tewas mengejut kepada Presiden Persatuan Olahraga Amatur Negeri Sembilan (POANS) Datuk Zainal Abidin Ahmad.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan