Tumpuan Jangka Panjang Untuk Misi Pingat Emas Olimpik Pertama Negara

Diterbitkan: Selasa, 25 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan akan memberikan tumpuan jangka panjang dalam menyediakan barisan atlet untuk memikul cabaran membawa pulang pingat emas Olimpik pertama negara.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata tumpuan kali ini bukan sahaja kepada persediaan untuk Olimpik 2016, malah kepada Olimpik yang berikutnya pada 2020.

"Hasil perbincangan dengan pelbagai pihak berkaitan, kita telah memutuskan bahawa tumpuan persediaan tidak hanya tertumpu pada Olimpik yang akan disertai empat tahun akan datang tetapi juga persediaan untuk Olimpik seterusnya. "Ini bagi memastikan kita dapat menyediakan persiapan terbaik dan melengkapkan para atlet kita dalam masa jangka panjang untuk bersaing dalam temasya sukan tersebut," katanya ketika menjawab soalan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) di Dewan Rakyat pada Isnin.

Shamsul ingin tahu mengenai pencapaian dan kelemahan dalam Program Olimpik London 2012 serta perancangan kementerian untuk Olimpik akan datang. Shabery berkata empat fokus utama akan ditekankan iaitu fokus kepada mereka yang berpeluang mendapat pingat emas, fokus kepada mereka yang berpeluang mendapat pingat, persiapan untuk melayakkan diri serta persedian pelapis.

Beliau juga berkata Malaysia adalah di antara negara yang memberikan ganjaran yang amat besar kepada pemenang pingat emas dan pingat lain jika dibandingkan dengan negara lain.

"Ganjaran yang dijanjikan bagi pingat emas adalah sebanyak RM1 juta di samping beberapa hadiah lain termasuk pencen dan sebagainya... begitu juga bagi pingat perak dan gangsa yang juga mempunyai ganjaran masing-masing," katanya.

Katanya, dalam sukan Olimpik yang lepas, sebanyak RM16 juta telah dibelanjakan berbanding peruntukan yang disediakan sebanyak RM25 juta berikutan beberapa sukan tidak dapat melayakkan diri ke temasya tersebut.

"Jumlah yang kita belanjakan itu tidak membazir dan tidak tinggi sebenarnya jika dibandingkan dengan negara lain seperti Great Britain, Australia, Jepun, Singapura, New Zealand dan Thailand yang berbelanja lebih besar.

"Great Britain misalnya, untuk pasukan penerjun sahaja mereka berbelanja sebanyak £4juta bersamaan RM20 juta untuk menghantar pasukan mereka yang mana mereka juga hanya mendapat gangsa dalam acara terjun 10 meter lelaki," katanya.

Beliau turut menafikan bahawa kurang tumpuan diberikan kepada atlet Orang Kelainan Upaya (OKU) yang menyertai temasya Paralimpik sebaliknya fokus yang diberikan adalah satu daripada yang terbaik di dunia.

Katanya, jumlah ganjaran yang diberikan kepada pemenang pingat jauh lebih tinggi berbanding Australia dan Amerika Syarikat yang aktif dalam sukan Paralimpik.

"Kalau sebelum ini mereka berlatih dengan menumpang di Institut Sukan Negara (ISN) dan berkongsi kemudahan, kini mereka sudah ada kompleks latihan sendiri di Kampung Pandang yang bernilai RM50 juta yang kini sudah 90 peratus siap.

"Mereka yang layak ke sukan Paralimpik dan sukan yang lain turut diberikan elaun sewaktu mereka berlatih sama seperi atlet normal yang lain," katanya.

Beliau berkata adalah tidak adil untuk mempertikaikan perbezaan ganjaran yang diberikan kepada pemenang pingat Olimpik dan Paralimpik kerana tahap perlawanan, saringan dan persaingan yang berbeza. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan