MPM Perlu Tampil Beri Hujah Skim Pencen Atlet Paralimpik - Ahmad Shabery

Diterbitkan: Jumaat, 21 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mahu Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) tampil memberi pandangan profesional berhubung isu Skim Imbuhan Tetap (Pencen) atlet paralimpik negara.

Beliau berkata sehingga kini, badan induk atlet Orang Kelainan Upaya (OKU) itu, masih belum memberi sebarang justifikasi tentang pemberian skim pencen kepada pemenang pingat Sukan Paralimpik di London, bulan lepas.

"Saya belum menerima apa-apa hujah daripada MPM. Saya masih menunggu pandangan bersifat profesional. Saya hanya dapat pandangan daripada MSN (Majlis Sukan Negara) tentang justifikasi skim pencen.

"Tetapi saya juga mahu pandangan daripada MPM dan kalangan profesional yang lain sebelum kita bawa perkara ini ke Lembaga Pengurus MSN untuk memberikan pertimbangan," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik di Kampung Pandan di sini, Jumaat.

Pada temasya Paralimpik London, kontinjen negara membawa pulang sebutir pingat perak dan satu gangsa, masing-masing menerusi pemanah Hasihin Sanawi dan Muhammad Ziyad dalam acara melontar peluru.

Ahmad Shabery berkata konsep kesamarataan perlu dilihat daripada skop menyeluruh dan profesional tanpa mempolitikkan isu yang akan melibatkan wang rakyat.

"Kalau dianggap memberi kesamarataan itu daripada aspek kebajikan mungkin boleh dilihat tetapi dalam konteks sukan ia mesti dilihat daripada perspektif kompetetif.

"Kita mahu pandangan yang profesional dan bukan pandangan sentimen, saya terbuka dalam hal ini dan saya menerima pandangan daripada beberapa profesional menyatakan acara Sukan Paralimpik ini bersifat 'belajar daripada kesilapan' berbanding Sukan Olimpik, ia dikawal dan mempunyai standard tertentu," katanya.

Mengenai penubuhan Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, beliau berkata ia menandakan keseriusan kerajaan dalam meneruskan usaha melahirkan atlet yang lebih berdaya saing.

"Kalau dibandingkan dengan negara lain, kerajaan tidak membezakan pemberian elaun yang diterima oleh atlet OKU dengan atlet normal. Malah kita lebih ke depan dalam penganjuran temasya sukan yang melibatkan atlet OKU.

"Jadi jangan salah faham yang kita pandang rendah kepada mereka (atlet OKU). Dengan tertubuhnya pusat ini menunjukkan keprihatinan dan keseriusan kita kepada atlet negara," katanya.

Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik yang dibina dengan kos hampir RM50 juta, dijangka beroperasi pada Februari depan. Pusat itu sepatutnya siap pada November tahun lepas.

"Sepatutnya pusat ini dapat beroperasi pada tahun lepas. Ada beberapa faktor seperti masalah membuka tanah yang mana semasa kerja pembinaan dilakukan, mereka menjumpai batu hampar yang besar di tapak asrama dan memerlukan lebih lima bulan memecahkan batu tersebut.

"Selain itu masalah pembentungan air memerlukan beberapa tambahan spesifikasi baru kepada bangunan itu," katanya.

Kompleks di atas tanah seluas 1.84 hektar itu akan menjadi antara yang termaju di rantau ini serta setanding dengan kompleks Paralimpik di Beijing, China dan Tokyo, Jepun.

Antara kemudahan yang disediakan ialah blok asrama, bangunan pentadbiran, lapangan memanah, gelanggang badminton dan kolam renang bersaiz Olimpik.

Semua kemudahan tersebut dibuat mengikut spesifikasi khusus bagi kegunaan atlet paralimpik, kata Ahmad Shabery. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan